Terkejut tengok Azlee Senario menangis ketika ‘live’ di TikTok, rupanya ada netizen buat kerja gila ini 

Oleh KIM SYAZIE

Senario merupakan sitkom komedi Malaysia yang sangat berjaya dan popular sekitar 90an. Boleh dikatakan sebahagian besar rakyat Malaysia membesar dengan siri komedi dibawa 5 sekawan itu.

Kemasyuran mereka kemudiannya mulai ‘suam-suam kuku’ sekitar 2012.

Setelah sekian lama tidak terdengar khabar, salah seorang pelawak kumpulan tersebut iaitu Azlee Senario atau nama sebenarnya Azlee Jaafar kembali menjadi perhatian warganet.

Ini selepas tular videonya menangis ketika sedang bersiaran di TikTok, sambil kelihatan tidak keruan dan bermundar mandir di ruang tamu.

Difahamkan ketika itu Azlee begitu terkejut apabila pengikutnya memberikan pelbagai hadiah (gift) yang mahal untuknya bernilai ribuan ringgit.

Detik sebak itu disaksikan menerusi klip yang dimuat naik oleh individu dipercayai pengasas kepada jenama tudung tempatan, Sheila Imran di akaun TikTok @Sillahijab.

Video berkenaan mendedahkan dia memberikan pelbagai hadiah kepada pelawak tersebut kerana pernah menghiburkan arwah ibunya suatu ketika dahulu.

“Rezeki dari Allah.. Terima kasih abang @Azlee Senario kerana pernah menghiburkan arwah ibu tercinta saya,” tulisnya pada kapsyen video tersebut.

Sementara itu, Azlee Senario tidak senang duduk selepas mendapati dirinya diberikan pelbagai gift.

“Ya Allah.. Allahu akbar..Ya Allah.. Allahu akbar..Ya Allah.. Allahu akbar..,” ujarnnya sambil berpusing-pusing di ruang tamu.

Ujar Azlee dalam klip tersebut, dia mendoakan pemilik akaun itu dimurahkan rezeki sambil menahan sebak.

“Ya Allah Shila apa benda ni, tak pernah tengok pun. Ya Allah!” katanya lagi.

Sepanjang siaran langsung tersebut, Azlee menerima pelbagai hadiah berupa ikan paus, anak kucing, singa, kereta api, istana termasuk kereta api yang nilainya mencapai ribuan ringgit.

Dalam pada itu, rata-rata orang ramai turut sama mendoakan pelawak itu dan mereka menyifatkan ia satu rezeki buat dirinya.

Live tersebut turut ditonton sehingga lebih 7,000 pengguna di platform media sosial berkenaan.

Untuk info, Azlee atau nama sebenarnya Azlee Jaafar mula mencipta nama bersama kumpulan komedi Senario pada era 1990-an.

Baca juga: JPJ Perak sita ambulans, kantoi bawa pesakit tanpa cukai jalan selama 13 tahun