Walaupun telah lebih dua dekad berlalu, tagline usahawan terkenal, Zaiton Hassan iaitu ‘Comel Tak Kak Ton’ masih diingati hingga sekarang.
Sekian lama tidak muncul di kaca televisyen, anak Kak Ton yang juga seorang pelakon, Harris Annuar tampil mendedahkan keadaan terkini ibunya.
Menurut Harris, usahawan kosmetik itu kini berdepan dengan masalah tulang belakang setelah beberapa kali pernah terjatuh.
Akibatnya, kaki wanita yang berusia 64 tahun itu kerap mengalami rasa kebas kerana tulang belakangnya telah menghimpit saraf.
Mengakibatkan kesan jangka panjang, Kak Ton terpaksa menjalani dua sesi pembedahan untuk menghilangkan rasa sakitnya.
Tidak boleh berdiri terlalu lama, Harris bagaimanapun memaklumkan bahawa ibunya masih boleh berjalan seperti biasa.
Malah, pengasas Pravenus Beauty Sdn. Bhd. itu masih boleh melakukan aktiviti perniagaan dengan aktif menerusi siaran langsung di aplikasi TikTok.
“Ibu saya boleh jalan seperti biasa tetapi tidak boleh berdiri terlalu lama dan masih boleh berniaga dengan buat live di TikTok.
“Cuma pergerakannya agak terbatas dan ia sedikit sebanyak menganggu urusan harian yang lain,” jelas Harris.
Menyita perhatian, Harris sebelum ini berkongsi bahawa ibunya telah selamat menjalani pembedahan kedua pada Sabtu lalu.
Mendapatkan perkhidmatan dari pakar lain, Harris bersyukur segalanya berjalan dengan lancar dan ibunya dibenarkan untuk pulang ke rumah.
“Sekarang Alhamdulillah, ibu saya sudah pun dibenarkan pulang dan sedang berehat di rumah,” katanya.
Baca juga: Bapa ada ketumbuhan, keluarga ‘berumah’ dalam Wira kerana tak mampu bayar sewa