Terkejut tengok kertas peperiksaan murid ‘zaman sekarang’, langsung tak usaha nak jawab?

Oleh WAN SITI AMINAH

Tindakan seorang guru meluahkan kekecewaan terhadap muridnya berhubung jawapan dalam kertas peperiksaan telah berjaya mengundang satu perbincangan hangat di media sosial, baru-baru ini.

Mana tidaknya, pelajar berkenaan bersikap acuh tak acuh dengan menjawab kertas peperiksaan secara sambil lewa malah langsung tidak berusaha untuk mendapatkan markah.

Dalam perkongsian tersebut, guru terbabit turut memuat naik gambar memaparkan kertas peperiksaan bagi mata pelajaran Sejarah yang dihantar oleh pelajarnya di sebuah sekolah menengah.

Berdasarkan gambar dikongsikannya, dapat dilihat situasi yang mengejutkan di mana pelajar tidak mencuba untuk menjawab menggunakan ilmu dipelajari sebaliknya hanya menyalin semula soalan diberi.

Difahamkan, perkongsian dibuat susulan pengumuman keputusan untuk memansuhkan pembelajaran yang berorientasikan peperiksaan terhadap murid sekolah dikekalkan.

Keputusan mengekalkan pemansuhan peperiksaan ini diambil bertujuan untuk mengurangkan tekanan murid selain menggalakkan pembelajaran berasaskan ‘inquiry’, eksplorasi, dan pengalaman.

“Tekanan murid lebih penting. Diambil maklum,” kesal guru itu terhadap pengumuman keputusan berkenaan menerusi satu hantaran di akaun media sosial X miliknya, baru-baru ini.

Pendedahan guru terbabit telah mencetuskan kegusaran orang ramai berhubung masa hadapan negara sekiranya pelajar masa kini sudah semakin hilang minat terhadap dunia pendidikan.

Rata-rata pengguna merasa hairan dengan sikap pelajar ‘zaman sekarang’ yang terlampau mengambil mudah terutamanya dalam pembelajaran dan seakan tidak memikirkan masa hadapan mereka sendiri.

Mereka juga bersimpati dengan nasib pendidik berikutan terpaksa mendidik pelajar yang tidak memiliki keinginan untuk berjaya selain berharap ibu bapa lebih memainkan peranan mereka dalam membentuk minat anak-anak.

Ramai pengguna media sosial juga berpendapat bahawa ‘penyelesaian mudah’ dengan memansuhkan peperiksaan tidak sepatutnya diambil kerana keputusan itu dikhuatiri lebih menjejaskan prestasi pelajar di sekolah.

“Murid mungkin tertekan dengan silibus yang entah apa-apa. Tetapi punca sebenar dibutakan, hanya mengambil masalah yang paling hujung dan batalkan peperiksaan,” kesal seorang pengguna mengharapkan penyelesaian lebih berkesan.

“Cikgu kalau tengok jawaban macam ini, tak payahlah tertekan. Beri markah kosong sahaja. Biar mak dan ayah murid pula tertekan mengajar anak mereka. Selama ini serahkan kepada cikgu sahaja. Anak tak boleh membaca dan mengira semua salah cikgu.” Ujar pengguna lain.

Baca juga: Haram pakai jersi ditaja syarikat judi, ini sebabnya ramai nak tahu