Seorang guru berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas memuat naik perkongsian mengenai sikap ibu kepada salah seorang anak muridnya di platform media sosial.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya itu, guru berkenaan meluahkan kekesalan di atas perbuatan ibu terbabit ekoran dikatakan kurang beradab dalam berkomunikasi.
Bukan sahaja bertindak menghantar pesanan pada waktu malam, sang ibu juga seperti memberikan arahan kepada guru untuk mengambil sendiri buku yang mahu ditanda di dalam beg sekolah anaknya.
Guru terbabit turut memuat naik tangkap layar perbualan bersama ibu itu di dalam hantaran video berdurasi 12 saat berkenaan bertujuan untuk bertanyakan pendapat orang ramai sama ada ia normal atau sebaliknya.
Pendidik itu mengakui langsung tidak keberatan untuk membantu anak-anak muridnya namun bahasa yang digunakan tidak sesuai selain berharap perkongsiannya dapat dijadikan pedoman oleh penjaga lain di luar sana.

“Normal atau tidak kalau ada ibu pelajar ‘suruh’ cikgunya cari dan ambil buku anaknya dari dalam beg? Entahlah, sama ada saya hati tisu, cepat koyak atau biasa sahaja ayat puan itu.
“Tetapi itulah, saya merasakan macam tiada adab di situ. Malah mesejnya juga dihantar pada waktu tengah malam. Harap teguran ini dijadikan pedoman buat ibu bapa. Saya boleh sahaja nak menolong dan tidak berkira.
“Malah berbesar hati. Cuma ayat itu macam tidak kena. Mungkin boleh taip, ‘Salam cikgu. Maaf mengganggu, bolehkah nak minta tolong cikgu… Macam itu,” kesal guru terbabit dalam perkongsian itu.
Dalam hantaran yang sama, guru itu turut menyarankan ibu bapa untuk menggunakan ayat lebih sopan jika mahu sebarang pertolongan bukanlah seperti mahu mengajak bergaduh.
Tinjauan mendapati rakaman itu sudah meraih sebanyak 752,300 tontonan dan 31,400 tanda suka dari pengguna TikTok setakat artikel ini ditulis yang mana rata-ratanya kurang senang dengan sikap ibu terbabit.

Baca juga: Bukan biasa-biasa nenek ini lipat baju dah macam dekat kedai