Terkejut tengok rumah mangsa kebakaran di Putra Heights, ruang solat tak terjejas langsung!

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan keadaan di dalam sebuah kediaman milik mangsa kebakaran saluran paip gas yang berlaku di Putra Heights, Puchong, Selangor pada 1 April lalu.

Perkara yang mencuri perhatian orang ramai dalam video itu adalah paparan menunjukkan ruangan solat di rumah berkenaan berikutan dilihat langsung tidak terjejas akibat kejadian kebakaran besar tersebut.

Sedangkan kawasan lain di dalam rumah tersebut sudah hangus terbakar seperti yang terpapar menerusi rakaman berdurasi 39 saat dikongsikan di platform media sosial TikTok itu.

Rakaman tersebut dimuat naik di akaun milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi ketika melawat kawasan berlakunya kebakaran bersar itu bersama para petugas.

Menurut Najwan, rumah berkenaan adalah di antara salah sebuah kediaman yang terjejas dengan teruk akibat dari kebakaran membabitkan kebocoran paip gas PETRONAS dengan anggaran sepanjang 500 meter itu.

Oleh yang demikian, pemimpin itu menyifatkan keadaan kawasan ruangan solat tidak terjejas berkenaan sebagai tanda kekuasaan ditunjukkan oleh Yang Maha Kuasa di sebalik musibah.

@najwanhalimi

KEADAAN RUMAH MANGSA KEBAKARAN DI PUTRA HEIGHTS— BILIK SOLAT TAK TERBAKAR! Salah satu rumah yang terjejas teruk… tapi bilik solat masih dalam keadaan baik. Di sebalik musibah, ada tanda kekuasaan-Nya. Semoga mangsa diberi ketabahan dan dipermudahkan segala urusan pemulihan. Insya-Allah, kami akan bantu sebaik mungkin. @SelangorTV #kitaselangor #kitaselangormajubersama #putraheights #putraheight #putraheightscommunity #kebakaranrumah

♬ original sound – Najwan Halimi – Najwan Halimi

“Keadaan di rumah mangsa kebakaran di Putra Heights. Bilik solat tidak terbakar. Sedangkan ini salah satu rumah yang terjejas teruk. Tetapi bilik solatnya masih berada di dalam keadaan baik.

“Di balik musibah, ada tanda kekuasaanNya,” kata Najwan di dalam ruangan kapsyen perkongsian yang kini sudah meraih mencecah 200,000 tontonan daripada pengguna TikTok setakat artikel ini ditulis.

Difahamkan, rakaman dibuat ketika operasi pembersihan melibatkan sekitar 4,000 sukarelawan dari lebih 20 agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijalankan pada Sabtu serta Ahad lalu di kawasan terjejas.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna merasa kagum melihat ruangan solat yang langsung tidak terjejas sedangkan kawasan lain di dalam rumah tersebut sudah hangus terbakar.

Ramai juga pengguna membuat kesimpulan bahawa tuan rumah berkenaan sering melakukan amalan ibadah sebelum sangkaan tersebut kemudian turut diakui oleh ahli keluarganya.

“Alhamdulillah, keajaiban Allah SWT nak tunjuk kepada kita umat Islam ini. Dan semestinya ada sesuatu amalan baik yang dilakukan oleh keluarga ini,” kata salah seorang pengguna.

“Rumah biras saya ini. Dia memang bagus, jaga solat dan rajin betul bersedekah. Pintu bilik solat ini memang jarang dia tutup. Tetapi itulah, haba panas tak masuk sedangkan perobat dekat ruang ‘hall’ itu habis cair semua.” Kongsi individu lain mendakwa dirinya ahli keluarga mangsa.

Baca juga: “Bagi infak sana sini tapi…”, bekas pekerja dakwa Pak Mat Western liat bayar gaji?