Malaysia Dateline

Terkejut tengok ubat stapler sebesar ini tertinggal dalam makanan, bila mengadu peniaga tak minta maaf pun

Seorang pelanggan meluahkan rasa terkejut selepas menemui sepapan ubat stapler yang dipercayai tertinggal di dalam pulut panggang yang dibelinya. Bukan satu tetapi dua papan ubat stapler dijumpai di dalam makanan tersebut.

Sekadar info, kerajaan pada awal tahun ini telah mengeluarkan amaran supaya peniaga makanan tidak menggunakan paku, dawai kokot dan seumpamanya untuk membungkus makanan.

Peniaga makanan yang menggunakan barangan berbahaya pada pembungkusan makanan boleh didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah.

Seperti yang dikongsikan seorang pengguna Facebook, Halimah Jais, dia meluahkan rasa terkejut kerana hampir tertelan ubat stapler yang terlekat pada pulut panggang.

Menerusi hantaran di laman Masak Apa Tak Jadi Hari Ini, wanita berkenaan berkongsikan dua keping gambar menunjukkan bentuk ubat stapler di dalam makanan yang dibelinya.

Dia juga meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa peniaga bersikap tidak acuh dengan tidak mengendahkan aduannya itu kerana tiada permohonan maaf dibuat kepadanya.

“Peringatan bersama. Kepada peniaga kuih pulut panggang dan yang seangkatan…mohon lebih berhati-hati ye apabila menggunakan stapler.

“Alhamdulillah. Tak ada apa-apa yang serius dan kepada peniaga…bila orang datang komplen, tolonglah ambil peduli. Ini minta maaf pun tak. Padahal saya tunggu orang tak ada baru saya cakap.

“Dan kepada pembeli seperti saya lepas ini kita kena berhati-hati beli makan makanan yang menggunakan stapler ni. Kerana kecuaian kita boleh mengakibatkan kesan yang lebih buruk. Peringatan untuk diri saya sendiri. Saya penjual, saya juga pembeli,” tulisnya.

Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai kerana ubat stapler yang tertinggal dalam makanan tersebut bukan calang besar. Jika tertelan pasti mengundang bahaya.

Ada antara mereka turut berkongsi pengalaman sama pernah menemui beberapa ubat stapler dalam makanan yang mereka pernah beli.

Mereka juga menasihatkan agar para peniaga sentiasa mengamalkan tahap kebersihan paling tinggi sepanjang tempoh penyediaan dan pembungkusan makanan untuk mengelakkan perkara seumpama itu berulang.

Baca juga: Pantun empat kerat DBP curi perhatian lagi

Baca juga: Burger tepi jalan RM4, mahal ke? Lelaki ini bongkar berapa modal untuk 1 biji burger