Terkenal sebab Lisa Blackpink, betul ke patung ‘comel’ ni ada unsur keagamaan?

Oleh MALAYSIADATELINE

Banyak ibu bapa yang membelikan anak mereka anak patung dalam pelbagai rupa dan bentuk seolah-olah lupa ia sebenarnya tidak elok.

Sekarang yang menjadi trend adalah anak patung yang dikenali sebagai Labubu, terlihat banyak pencipta kandungan sanggup berhabis ribuan ringgit.

Jika dilihat ia agak menyeramkan tapi ramai memuji ia sebagai comel apatah lagi selepas ia dipopularkan oleh ahli kumpulan Blackpink, Lisa.

Melihat semula kepada sejarah terciptanya Labubu, Kasing Lung, mendakwa ia diilhamkan oleh kisah dogeng Nordic dan imaginasi kanak-kanak tanpa had.

Lung mencipta watak yang jelas dan dunia penuh permainan serta bermain dengan elemen misterius.

Namun pencipta patung Labubu itu juga telah membuat pengakuan mengenai perkara tersebut dengan memaklumkan versi pertama Labubu dikeluarkan berwarna merah dan bertulis 666.

Lung mendapat inspirasi dan menciptakan Labubu pada tahun 2015 dan jelas dia terinspirasi ketika berpindah ke Belanda dan berkait dengan agama di sana.

Bagaimanapun ramai yang membeli patung tersebut mendakwa mereka tidak memuja tersebut sebaliknya menjadikan ia sebahagian aksesori.

Tapi berbaloikah berhabisan ratusan ringgit untuk patung hanya kerana ia dipakai artis kesayangan sedangkan masih banyak benda lain boleh dijadikan hobi.

Pandangan pakar

Memetik mStar, berdasarkan pengakuan pencipta Labubu yang mengaitkan patung tersebut dengan agama dianuti, seorang pensyarah tampil memberi pandagan.

Pensyarah Fiqah Kontemporari di Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Datuk Dr Izhar Ariff Mohd Kashim menjelaskan benda penting berkaitan patung untuk kanak-kanak.

“Berasaskan kepada pengakuan pencipta patung itu inspirasi pada tuhan sesuatu agama, maksudnya tuhan yang disembah oleh agama lain dan patung mainan itu menjadi idola kepada pencipta.

“Pada hari ini, ia menjadi mainan patung kanak-kanak. Oleh itu saya melihat tidak wajar ibu bapa beragama Islam untuk membiarkan anak bermain dan menyimpan patung yang ada elemen keagamaan mana-mana kaum,” jelasnya seperti dipetik mStar.

Pada masa sama dia menegaskan ibu bapa untuk lebih peka dengan asal usul patung yang dibeli kepada anak-anak.

“(Patung permainan) tidak boleh mempunyai inspirasi atau yang disembah oleh mana-mana pihak oleh sebab itu, nasihat saya agar ibu bapa prihatin dengan mainan anak-anak

“Saya juga berharap agar ibu bapa mengambil tahu tentang latar belakang mainan anak-anak supaya tidak mempunyai unsur atau membangga agama lain,” tegasnya lagi.

Baca juga: Cikgu pelik murid jalan seret kaki, sebak nampak kertas disumbat dalam kasut sekolah