Pernah menjadi kegilaan wanita pada era 90-an, pelakon, Azhar Sulaiman mengakui dirinya terkilan apabila digelar biawak hidup.
Jarang dilihat berlakon di kaca televisyen, Azhar juga dituduh menumpang kesenangan keluarga isteri, Cempaka Amalin Pahamin.
Tuduhan itu timbul kerana Azhar tinggal di rumah agam milik keluarga isterinya yang terletak di Sungai Pencahala.
Berterus terang, pelakon yang berusia 52 tahun itu mengakui hatinya terguris dengan tuduhan yang dilemparkan orang ramai.
Oleh yang demikian, Azhar membuat keputusan untuk bersikap lebih terbuka dan mendedahkan sisi lain dirinya terutamanya di sosial media.
Tidak hanya bergelar pelakon, Azhar sebenarnya merupakan seorang arkitek dan mempunyai perniagaan dalam bidang hiasan dalaman.
Melalui akaun TikTok miliknya, Azhar kini lebih banyak berkongsi dan mendedahkan penglibatan dirinya dalam projek seni bina.
“Ramai yang tidak tahu, selain berlakon saya juga masih bekerja sebagai arkitek. Sebelum ini, saya rasa tidak penting untuk didedahkan.
“Namun disebabkan dituduh biawak hidup, saya mula berkongsi apa yang saya lakukan selain berlakon.
“Sebagai manusia biasa, apabila dilemparkan tuduhan sedemikian pasti sedikit sebanyak saya terguris hati,” akui Azhar.
Tidak benar sama sekali, Azhar juga menepis dakwaan bahawa kekayaan menjadi faktor pemilihan Cempaka sebagai isteri.
Hal ini kerana, bapa mertuanya masih belum terbabit dengan syarikat Air Asia saat mereka mendirikan rumah tangga.
Cempaka adalah anak sulung kepada pengasas bersama syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad iaitu Datuk Pahamin A Rajab.
Baca juga: Wanita ini kongsi berapa banyak dia habiskan duit sebagai isteri jutawan, sehari cecah RM70,000