Lima individu termasuk seorang kerabat Diraja Pahang diheret ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini di atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan pisau, Jun lalu.
Pertuduhan itu dibuat selepas sekitar dua bulan dakwaan serangan melibatkan kerabat terbabit terhadap pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan iaitu Alias Awang dilaporkan sebuah media atas talian.
Tertuduh, Tengku Eddie Akasya Tengku Abdul Rahman, 20, Nik Norhisham Affendi Nik Mohd Zani, 39, Mohd Fouzi Md Nur, 44, Mohd Taufik Daud, 44, dan Khairul Azhar Rosli, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Tengku Eddie Akasya adalah anak kepada Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang juga adik kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Memetik laporan Malaysia Kini, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan bahawa salah seorang tertuduh itu merupakan anggota polis namun tidak mendedahkan identiti individu berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama mencederakan paha Alias menggunakan pisau di sebuah kawasan lot tanah bangsal kuda terletak di Jalan Teluk Sisek, Kuantan pada 6 Jun lalu.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan pertuduhan tersebut turut dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana dari dua hukuman tersebut.
Pendakwaan dijalankan tiga Timbalan Pendakwa Raya diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Shahrizat Ismail di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.
Difahamkan, kesemua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM7,000 manakala tarikh 11 Disember depan pula ditetapkan oleh pihak mahkamah sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana pihak.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan laporan media mengenai pendedahan Alias yang mendakwa mengalami kecederaan selepas diserang seorang kerabat Diraja Pahang dan beberapa individu menggunakan senjata tajam dan pistol.
Alias Awang menerusi pendedahan eksklusif bersama sebuah portal berita atas talian sebelum ini mendakwa telah menjadi mangsa serangan berkumpulan di sebuah kandang kuda di Kuantan, Jun lalu.
Pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan yang berusia 44 tahun itu mengakui dihubungi oleh seorang individu dipercayai orang suruhan kepada anak kerabat Diraja Pahang untuk bertemu dengannya.
Alias kemudian diserang oleh kira-kira 20 orang termasuk anak individu bergelar Tengku di mana salah seorangnya telah menikam peha kanannya dengan menggunakan pisau.
Difahamkan dalam kejadian yang berlaku pada 6 Jun lalu itu, anak Tengku berkenaan juga dikatakan turut melepaskan tembakan ke arah kaki Alias namun tidak mengenai sasaran.
Serangan terhadap bapa kepada lapan orang anak itu dilaporkan dibuat susulan pertikaian berkaitan isu tanah yang berlaku di Rompin berikutan dirinya terlibat dalam pembinaan jalan di situ.
Laporan polis berhubung kejadian itu juga telah dibuat oleh Alias di Kuantan, Pahang pada 8 Jun lalu iaitu dua hari selepas kejadian susulan mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan.
Alias yang mengalami kecederaan di bahagian paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki itu bagaimanapun menolak untuk ditahan di hospital, sebaliknya mahu melakukan penjagaan sendiri di rumah.
Baca juga: “Bea Kuda Bea” – Komposer terkenal tak melatah, anggap hak masing-masing nak tukar lirik lagu