Malaysia Dateline

Steven sahut cabaran pensyarah UUM, tunjuk pemuda penerima motosikal

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menyahut cabaran Pensyarah UUM, Dr Kamarul Yusof dengan menunjukkan kepada media pemuda Kelantan yang dibantu oleh beliau sebelum ini.

Dalam sidang media itu, Steven membawa pemuda dari Kelantan itu serta motosikal yang disumbangkan oleh beliau kepadanya.

Sebelum ini, Pensyarah UUM, Dr Kamarul Zaman Yusof membuat cabaran kepada sesiapa yang dapat menunjukkan pemuda dari Kelantan yang menerima sumbangan motosikal dari Steven itu akan diberikan hadiah RM2,000.

Ini berikutan dakwaan bahawa Steven hanya membuat rekaan dan budak dari Kelantan itu sebenarnya tidak wujud.

Cerita Steven membantu pekerja penghantar makanan, Food Panda yang menggunakan basikal untuk menjalankan kerjanya dengan memberikan sebuah motosikal baharu kepada beliau telah tular sebelum ini.

Namun Dr Kamarul dan rakan-rakannya tidak percaya dengan cerita itu di samping menjadikan isu itu sebagai isu perkauman.

Beliau juga mempertikaikan kewujudan pemuda itu.

Ekoran itu, Dr Kamarul melalui Facebooknya telah menawar RM2,000 kepada mana-mana pihak yang boleh memberikan maklumat tentang pemuda itu.

“Disebabkan oleh beberapa misteri yang menyelubungi diri beliau, sukacita dimaklumkan bahawa saya serta dua rakan Facebook saya, iaitu Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail dan Saudara Saiful Haq, dengan ini menawarkan saguhati sebanyak RM2,000 kepada sesiapa sahaja yang mampu memberi maklumat seperti nombor telefon, alamat tempat tinggal atau alamat tempat kerja anak Kelantan pekerja Panda Food yang dibantu oleh Steven Sim sehingga beliau dapat dipertemukan dengan saya untuk tujuan pemberian sumbangan tertentu kepada beliau,” tulis Dr Kamarul menerusi Facebooknya pada 26 April lalu.

Hari ini, Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu membawa pemuda yang dibantu itu kepada media untuk diberitahu “Inilah orangnya”.