Malaysia Dateline

Terlalu awal untuk PN rayakan kemenangan, kata Anwar

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih terlalu awal untuk meraikan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 pada peringkat dasar.

“Terlalu awal untuk PN rayakan kemenangan,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu kepada pihak media.

Turut berada di sampingnya ialah Mohamad Sabu (AMANAH-Kota Raja) dan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang masing-masing merupakan Presiden dan Setiausaha Agung parti.

Semasa pengundian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini, Anwar tidak mencelah ketika Zafrul menyampaikan ucapan penggulungan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Bahkan, hanya 13 Ahli Parlimen dari Pejuang, AMANAH, PKR, DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) bangun menyokong cadangan Mahfuz Omar (AMANAH-Pokok Sena) untuk undian belah bahagi (en bloc).

Sebaliknya, Mohamad Sabu (AMANAH-Kota Raja) mulanya dilihat berdiri tetapi ditarik Lim Guan Eng (DAP-Bagan) untuk duduk semula.

Serentak itu, Salahuddin Ayub (AMANAH-Pulai) dan Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kapar) juga duduk selepas menyedari kebanyakan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) tidak bangun menyokong undi belah bahagi.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun akhirnya mengumumkan RUU Perbekalan 2021 pada peringkat dasar diluluskan melalui undi suara pada jam 3.28 petang.

Sementara itu, beberapa Ahli Parlimen PKR dan DAP yang dihubungi media juga enggan menjelaskan sebab mereka tidak menyokong cadangan undian belah bahagi.

“Anda tanya Port Dickson (Anwar),” kata seorang Ahli Parlimen dipetik Malaysiakini.

Ekoran itu, rata-rata penyokong PH berang dan tidak puas hati dengan pendirian Ahli Parlimen PKR dan DAP yang sebelum ini dilihat berdegar-degar mengkritik Belanjawan 2021.

Pengundian hari ini masih di peringkat dasar dan akan disusuli perbahasan selama dua minggu seterusnya undian di peringkat jawatankuasa yang melibatkan kesemua kementerian.

Bacaan ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 dijadualkan pada 17 Disember depan.