Malaysia Dateline

Terlalu ramai beratur minta bantuan, Saddiq diarah tutup pejabat Parlimen

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan bahawa pejabat Parlimennya telah diarahkan tutup bermula esok ekoran terlalu ramai penerima bantuan yang hadir beratur di luar pejabat.

Menerusi hantarannya di Facebook, beliau berkata, kebiasaannya jumlah keluarga yang datang meminta bantuan sekitar 150 orang, namun jumlah keluarga yang datang semakin meningkat sejak dua hari lalu.

Sejak dua hari lalu juga pasukannya telah bekerja untuk mengagihkan bantuan makanan kepada 5,000 keluarga di Muar.

“Saya nak maklumkan yang pejabat Parlimen Muar telah diarahkan tutup bermula esok.

“Orang sedang susah, lapar dan sakit. Mereka wajib dibantu.

“Pejabat saya tak boleh tolak orang yang mahu datang. Nak suruh mereka pulang sebab orang ramai, tak sampai hati. Rakyat Parlimen Muar adalah tanggungjawab saya,” katanya.

Pengasas parti Muda itu berkata, beliau tidak boleh sesekali menghalang rakyat Muar untuk hadir mendapatkan bantuan di pejabatnya, namun telah diarahkan tutup oleh pihak polis

Menurutnya, jika pejabat ditutup, edaran bantuan makanan akan lebih lambat sampai ke tangan keluarga penerima, malahan proses menghantar bantuan dari rumah ke rumah bakal mengambil masa.

“Realitinya, ramai lagi rakyat Parlimen Muar yang susah, lapar dan sakit. SOP memang dipatuhi, tetapi saya memang tidak boleh kawal jumlah penerima yang datang ke pejabat.

“Kalau mahu kenakan kompaun kepada orang ramai yang datang ke pejabat, saya minta jangan kompaun mereka.

“Kompaun saya tak apa. Pejabat itu di bawah kawal selia saya. Urusan bantuan makanan ini pun urusan saya dan pejabat saya,” katanya lagi.

Sementara itu Saddiq menjelaskan, selama ini pasukannya telah menyediakan sistem kupon terhad 100 kupon setiap hari untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Malah, had jumlah pengunjung ke dalam pejabat juga dilakukan.