Kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang memandang ringan berhubung batas pergaulan dalam keluarga, seorang peguam tampil berkongsi satu kes mengejutkan.
Menurut peguam syarie berkenaan, kejadian bermula apabila seorang gadis berusia 18 tahun menghadiri sesi konsultasi di pejabatnya bersama lelaki berumur 37 tahun.
Difahamkan, ‘pasangan’ yang mahu mendirikan rumah tangga itu kemudian bertanya kepada peguam berkenaan tentang proses berpoligami tanpa persetujuan keluarga.
Namun alangkah terkejutnya peguam syarie berkenaan apabila mendengar jawapan mereka selepas ditanya mengenai alasan mengapa penikahan itu tidak dipersetujui.
“Datanglah satu pasangan perempuan (18 tahun) dan lelaki (37 tahun) minta nasihat dan konsultasi untuk berpoligami. Sebabnya keluarga tak bersetuju mereka bernikah.
“Kemudian kami terangkan prosedurnya (poligami tanpa persetujuan keluarga). Lalu pertanyaan diutarakan kepada mereka, ‘Kenapa keluarga tak setuju untuk kamu berdua bernikah?’.
“Jawapannya, ‘Sebab.. lelaki ini pak cik (adik kandung mak) saya’. Terkesima sekejap, mungkin mereka tidak tahu, HARAM BERNIKAH DENGAN BAPA/MAK/ANAK SAUDARA kita!,” kesalnya.
Lebih memburukkan keadaan, remaja yang mungkin membesar tanpa mengenal erti batas pergaulan itu tetap mencari jalan untuk berkahwin dengan bapa saudaranya.
Gadis berkenaan kemudian bertanya kepada peguam terbabit mengenai cara untuk menikah dengan bapa saudaranya itu berikutan mereka sudah sekian lama ‘rapat’.
“Boleh pula dia tanya macam ini, ‘Ada cara lain ke puan untuk kami bernikah? Sebab kami sudah lama rapat, hanya ibu bapa saya yang tidak benarkan kami berkahwin’.
“Saya pun jawablah, ‘TIADA CARA LAIN! DALAM AL-NISA AYAT 23 sudah termaktub bahawa HARAM KAHWIN DENGAN MAHRAM. Itu sumbang mahram namanya,” jelas peguam syarie terbabit.
Tular di media sosial, perkongsian daripada peguam syarie dikenali sebagai Hasanah Johari itu dimuat naik menerusi satu hantaran di akaun media sosial TikTok miliknya.
Hasanah menjelaskan bahawa perkongsian dibuat bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak sebaliknya mahu dijadikan pengajaran buat masyarakat di luar sana.
“Kisah pelik tetapi benar. Bukan bertujuan untuk mengaibkan tetapi mahu berikan pengajaran sebab sekarang ramai ‘enablers’ yang rasa elok sahaja bapa saudara rapat dengan anak buah tanpa batasan.
“Akibatnya anak saudara tersuka dengan pak cik sendiri sehingga nak kahwin seperti kes ini. Hukum syarak malah undang-undang telah menetapkan perkara ini adalah haram.
“Berhenti ‘grooming children’ (aktiviti pengantunan seksual). Berhentilah pedofil bangs*t.” Tulis peguam berkenaan di ruangan kapsyen hantaran yang dikongsikan di TikTok itu.
Sekadar info, pihak enabler dalam kes ini merujuk kepada individu atau kumpulan yang secara langsung atau tidak langsung menyokong, membenarkan atau memudahkan pelaku untuk melaksanakan aktiviti pengantunan seksual.
Baca juga: GISBH akui dakwaan liwat hanya kes ‘terpencil’, rayu sumbangan awam bayar peguam