Malaysia Dateline

Terlampau stres mengundang serangan sakit jantung

Bolehkah terlalu stres sampai kena serangan sakit jantung? Ini kes yang saya hadapi pada pukul 1 pagi, 28 Ogos lalu. Lelaki berumur 40-an datang lewat malam dengan rasa loya dan pening.

Tekanan darah beliau ketika sampai di hospital hanya 70 mmHg. Ujian pertama iaitu elektrokardiogram (ECG) beliau menunjukkan serangan sakit jantung yang serius.

Saya bawa dia segera ke angiogram. Salur darah sebelah kanan, “right coronary” atau RCA dia tersumbat sepenuhnya 100 peratus dengan darah beku.

Saya masukkan alat dipanggil “thrombus aspiration catheter” untuk menyedut darah beku itu.

Alhamdulillah, selepas dua, tiga kali alat ini, pengaliran darah dia lancar kembali. Saya kemudian masukkan belon dan stent untuk mengekalkan saluran darah ini terbuka besar agar darah boleh terus lancar.

Pesakit ini tidak merokok, tiada kencing manis, tiada tekanan darah tinggi yang berlebihan dan tahap kolesterol beliau tidaklah tinggi sangat. Tapi kerja dia sebagai bos besar sangat stres.

Ini agaknya yang menyebabkan serangan sakit jantung dia.

Saya sudah jumpa banyak pesakit muda yang kerja terlampau stres, tidak cukup berehat, tidak cukup tidur yang kena serangan sakit jantung pada usia yang muda.

Kesimpulannya, pastikan cukup rehat, cukup tidur, jangan stres sangat. Kalau bos suruh masuk mesyuarat kerja dari rumah (WFH) bertubi-tubi, tegur dia sikit.

*DR IMRAN ABDUL HAFIDZ merupakan pakar kardiologi di Hospital Pantai Kuala Lumpur.