Terlupa nak basuh bekas makanan sampai ada bau? Jangan panik! Ikuti tip ni, tak perlu susah beli baru

Oleh MAISARAH AISYA

Kalau balik rumah ibu bapa, mesti perasan ada sahaja bekas plastik disimpan, ada yang bau tidak menyenangkan, kotor tapi tetap elok je tersusun dalam almari.

Bila anak balik sahaja habis dibuangnya, kesian mak-mak nak simpan lauk dah hilang semua bekas plastiknya.

Ikuti perkongsian pengguna Facebook, Tupperware Billionaire mengenai cara senang untuk hilangkan bau dalam bekas makanan.

Tips hilangkan bau dengan efektif

Berikut adalah beberapa tips dan petua yang sangat berguna dalam menghilangkan atau mengelakkan bau busuk ‘tupperware’ anda di rumah.

1. Menggunakan surat khabar

Ramas dan renyukkan surat khabar lama di rumah anda. Sumbat ke dalam bekas makanan yang telah dicuci dan kering. Tutup penutupnya dan biarkan semalaman.

Keesokan harinya, bau yang melekat akan terserap ke dalam surat khabar. Jangan lupa untuk mencuci bekas makanan tadi sebelum menggunakannya semula.

2. Perahan jus limau nipis atau lemon

Perahkan limau nipis atau lemon untuk diambil jusnya dan gosokkan limau nipis tadi ke seluruh bahagian dalam bekas makanan atau tupperware anda.

Biarkan sekitar 4-5 minit sebelum anda bilas dengan air bersih.

Untuk pengetahuan anda, lemon bukan sahaja boleh menghilangkan bau busuk dalam tupperware tetapi ia juga boleh digunakan bersama garam untuk menghilangkan kotoran degil.

3. Guna serbuk teh

Satu lagi bahan semulajadi yang boleh menyerap aroma dengan pantas ialah serbuh teh. Anda boleh menggunakan serbuk atau uncang teh yang telah digunakan ataupun belum.

Caranya mudah sahaja, cuma letakkan uncang teh ke dalam bekas yang telah dicuci dan tutup bekas makanan anda serta biarkan selama semalaman.

4. Guna garam

Taburkan secubit garam ke dalam bekas makanan yang telah dicuci. Tutup bekas tersebut dan biarkan ia selama 2-3 jam.

Secara semulajadi, garam akan bertindak sebagai agen yang kan menyahkan bau busuk makanan atau minuman yang masih tertinggal dalam tupperware anda.

5. Guna cuka

Selain bahan-bahan di atas, cuka juga merupakan salah satu agen pencuci semulajadi yang sangat efektif. .

Setelah mencuci bekas makanan anda, tuangkan sedikit cuka ke dalam bekas dan biarkan selama 5-10 minit untuk menghilangkan bau yang kurang menyenangkan.

Kemudian, bilaslah bekas tadi dengan air bersih.

6. Guna serbuk penaik atau baking soda

Baking soda sangat sesuai untuk digunakan kerana ia juga boleh bertindak sebagai agen penyerap bau yang sangat berkesan.

Caranya ialah, campurkan sedikit serbuk penaik dengan air suam dna gosok pada bahagian dalam bekas makanan tersebut. Biarkan seketika sebelum dibilas.

Jika masih berbau, rendam bekas makanan atau tupperware anda dalam larutan baking soda dan biarkan ia semalaman.

Kalau tak nak cepat berbau seeloknya segera basuh dan pastikan bekas makanan betul-betul kering sebelum simpan ia di dalam almari.

Baca juga: Rupanya ada cara nak bagi beras murah bau wangi, rasa macam makan beras mahal!