Malaysia Dateline

Ternyata kamu khianati kami jua, kata ulama Pas

Ulama Pas, Mokhtar Senik memberitahu bahawa beliau sejak awal lagi sudah menjangkakan rakan sekutu mereka yang berada di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini akan mengkhianati gabungan itu satu hari nanti.

Kenyataan beliau itu dipercayai merujuk kepada Umno selepas seramai 15 Ahli Parlimen menarik sokongan dari Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan kerajaan keseluruhannya.

Beliau berkata, sejak dua bulan sebelum Mahiaddin meletakkan jawatan, beliau sudah pun tidak percaya kepada Umno biarpun rakan-rakan seperjuangan memuji parti itu.

“Saya tulis mengenai kamu dua bulan sebelum TSMY meletakkan jawatan dan gugurnya kerajaan Melayu Islam gara-gara kamu.

“Jauh sebelum itu iaitu 8 Oktober 2020, saya memperingatkan beberapa orang teman-teman pimpinan agar waspada dengan kamu.

“Langkah kamu, fikrah kamu, kata-kata kamu dan karakter kamu sudah lama menggambarkan kamu akan mengkhianati kerajaan PN,” luahnya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Mokhtar berkata, sungguhpun begitu masih ada dalam kalangan teman-temannya yang tidak percayakan telahan beliau.

Bahkan luahnya, ada yang menyindir kononnya beliau iri hati terhadap Umno.

“Malah ada yang buang saya dari ‘Group’. Tak mengapa. Saya tidak paksa untuk sesiapa mempercayai kata-kata saya. Kerana kata-kata saya itu bukan kalam firman atau kalam sabda. Namun ternyata kamu khianati jua,” tambahnya.