Sedih tengok kucing berpaut di tingkap agar tak dibawa arus, nasib baik bomba datang selamatkan

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman di platform media sosial memaparkan detik menyayat hati apabila seekor kucing terpaksa berpaut pada tingkap di luar sebuah rumah agar tidak dibawa arus banjir.

Berdasarkan rakaman berdurasi satu minit 15 saat yang dikongsikan di aplikasi TikTok itu, kelihatan sudah hampir separuh dari badan kucing berkenaan tenggelam ekoran air banjir naik di kawasan tersebut.

Haiwan itu bagaimanapun bernasib baik apabila anggota Bomba dan Penyelamat yang turut berada di kawasan itu dipercayai untuk memindahkan mangsa banjir bergegas menyelamatkan kucing berkenaan.

Dalam rakaman tersebut, terlihat kucing berkenaan hanya mendiamkan diri sambil berpaut sekuatnya pada tingkap rumah tersebut sebelum akhirnya mengiau dengan kuat apabila ternampak anggota bomba mendekatinya.

Anggota berkenaan kemudian ‘menangkap’ kucing itu dengan berhati-hati dipercayai menggunakan baju hujan untuk menyelamatkannya sebelum dibawa ke kawasan yang tidak dinaiki air.

Berdasarkan keterangan dikongsikan oleh pemilik video, kejadian tersebut dikatakan berlaku di Jitra, Kedah yang mana separuh rumah tempat kucing itu berpaut sudah ditenggelami air banjir.

“Anak kucing hampir lemas. Terima kasih abang bomba. Banjir 2024 di Jitra,” tulis pengguna TikTok yang memuat naik rakaman tersebut di platform tersebut dan berjaya meraih lebih dari setengah juta tontonan.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna TikTok tampil mengucapkan terima kasih kepada anggota bomba yang tidak hanya menghulurkan bantuan kepada manusia malah turut menyelamatkan haiwan.

Ramai juga pengguna meluahkan kerisauan terhadap nasib haiwan-haiwan lain ekoran turut menjadi mangsa dalam kejadian banjir selain berharap lebih ramai orang bersikap peka dengan keselamatan bintang peliharaan.

Baca juga: Banjir: KTMB batal beberapa perkhidmatan tren ke Pantai Timur, ini laluan yang terlibat