Malaysia Dateline

Terpaksa jalan kaki sejauh 26km gara-gara LRT rosak, tapi sikap positif lelaki ini buat ramai kagum

Seorang lelaki nekad berjalan kaki sejauh 26 kilometer dari LRT Kerinchi ke KL Sentral selepas perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid Rail laluan Kelana Jaya dilaporkan tergendala.

Menerusi video dikongsi di TikTok Adam Eji, dia memberitahu pada awalnya dia berjalan dari Universiti Malaya (UM) ke LRT Kerinchi, namun disebabkan stesen itu tutup, dia mengambil keputusan meneruskan perjalanan ke Stesen LRT di KL Sentral.

Bukan itu sahaja, dia juga terpaksa meredah hujan sepanjang perjalanan ke KL Sentral, sebelum akhirnya menukar rancangan untuk menaiki Monorel ekoran keadaan huru hara di stesen berkenaan.

“I nak buat challenge berjalan dari LRT Kerinchi, ke KL Sentral. I nak balik, I tak kira. Dah kebulur masa tu.

“Jadi kita redahlah dengan hujan lebat, jalan kaki. Anggap je sebagai kardio guys. Kita jalan kaki sampailah ke Abdullah Hukum, Bangsar dan sampailah ke KL Sentral

“Masa sampai KL Sentral memang chaos betul, semua orang padat gila dalam tu. Lepas itu I buat keputusan naik Monorel sebab dah lama tak naik Monorel,” katanya.

Selepas turun dari Monorel di stesen LRT Dang Wangi, pemuda ini meneruskan lagi perjalanannya ke KLCC untuk menaiki tren di sana.

Namun harapan bertukar hampa apabila tiba di KLCC, tren di sana juga ditutup menyebabkan dia terpaksa berjalan kaki sekali lagi untuk ke stesen Ampang Park.

Sekali lagi hampa kerana stesen LRT tersebut juga dilaporkan tergendala, dan memutuskan untuk berhimpit dengan orang ramai untuk menaiki bas.

“Turun di LRT Dang Wangi, jalan kaki pula ke KLCC. Hujan lebat tu guys. Memang nak nangis je rasa.

“Sampai je KLCC, anda tahu tak rupanya tren pun tutup. Terpaksalah keluar jalan kaki lagi lalu sebelah Setapak tu. Pergi LRT Ampang Park, tapi tutup juga. Sakit hati betul.

“I pun naiklah bas dan turut dekat depan Hospital Gleanegles tu. Kita pun susurlah dekat belakang lalu Embassy Korea, dengan baju basah lencun, powerbank pun masa tu tinggal 7 peratus.

“Tapi kita jalan lagi ke LRT Jelatik. Laluan ke sana menakutkan, tapi Alhamdulillah sampai. Ingat masuk free sebab LRT mereka rosak tapi tetap kena bayar ye,” katanya.

Sehingga kini, perkongsian pemuda berkenaan mendapat lebih 35,000 tanda suka dengan 771 perkongsian.

Meninjau ke ruangan komen, ramai yang tidak percaya pemuda ini mampu berjalan sejauh itu meredah hujan untuk pulang ke rumah.

Mereka juga berseloroh mengatakan tidak sangka sebenarnya orang ramai masih boleh berjalan kaki di bandar Kuala Lumpur yang sibuk.

“Wahh rupanya not impossible juga ah nak jalan kaki dekat bandar KL ni,” komen pengguna TikTok.

“Terbaik boleh berdikari…,” komen yang lain.

OMG. Walk from day to night! Macam ini memang sihat betol,” ujar netizen.

Baca juga: Langgar perintah injuksi, ahli keluarga Ira Kazar pula diberi notis peguam

Baca juga: Dari menteri sampai ke pengarah Prasarana tidak faham kepayahan rakyat bergantung pada pengangkutan awam