Malaysia Dateline

Terpaksa ‘muntah’ banyaknya pergolakan politik, kata Abdul Hadi

Walaupun seorang ahli politik, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sepatutnya orang politik tidak sibuk berpolitik, sebaliknya mengutamakan perkara yang perlu diutamakan.

Mengakui negara dalam keadaan getir sekarang, Ahli Parlimen Marang itu menegaskan rakyat tidak patut dicelarukan dengan pergolakan politik terutama ketika negara sedang berdepan krisis Covid-19.

“Rakyat yang menderita dalam menghadapi pandemik COVID-19, dicelarukan dengan pergolakan politik yang tidak patut diutamakan, apatah lagi diperbanyakkan sehingga terpaksa ‘muntah’.

“Masing-masing saling menuduh dan mengaku paling membela rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.

Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri itu berkata, ‘drama’ politik negara sepatutnya tidak perlu ‘dimainkan’ sepanjang masa, tetapi ‘dipertontonkan’ dengan teliti dan berhemat serta kena pada masanya.

Dalam masa sama, Hadi yang juga terlibat dalam pembentukan kerajaan ‘tebuk atap’ meminta rakyat menilai dan membuat pertimbangan dengan adil serta tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

“Dalam sebuah negara demokrasi, rakyat wajib menjadi hakim yang adil dalam membuat pertimbangan dengan akal yang sihat.

“Jangan sesekali dipengaruhi oleh sesiapa pun, khususnya media upahan yang berniaga untuk mendapatkan habuan lumayan daripada pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan demi mengisi perut sehingga menggunakan konsep matlamat menghalalkan segala cara.

“Ikutilah senario politik yang berlaku dengan teliti dan berhemat supaya berlaku adil, khususnya terhadap diri sendiri,” jelasnya.