Gambar pasangan suami isteri terpaksa membawa bayi mereka yang memakai alat bantuan pernafasan menaiki motosikal telah meraih perhatian ramai termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rupanya ketika kejadian, pasangan itu berada di dalam perjalanan ke hospital bagi mendapatkan rawatan rutin anak mereka yang perlu memakai bantuan penafasan, Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) kerana menghidap penyakit paru-paru kronik.
Bapa bayi itu, Mohd Azlan Ishak, 36, mengakui tidak tahu gambarnya bersama isteri, Norhidayu Halim, 35, yang membawa bayi lelaki mereka iaitu Mohd Aariz Zafran menaiki motosikal tular di media sosial.
Mereka juga sama sekali tidak berniat untuk meraih simpati malah Azlan juga hanya mengetahui bahawa kisah keluarganya mendapat perhatian orang ramai selepas dimaklumkan isteri pada Isnin, lapor Sinar Harian.
“Kami memang sentiasa berulang-alik ke hospital dengan menunggang motosikal sahaja membawa Mohd Aariz bagi mendapatkan rawatan. Pada hari kejadian, hanya ada RM12 dalam poket sebab sudah banyak hari tidak bekerja.
“Ia merupakan satu-satunya kenderaan yang kami ada walaupun sedar anak kami yang kurang sihat tidak sepatutnya dibawa menaiki motosikal. Namun kami terpaksa kerana tiada kereta,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Ketua keluarga yang tinggal di Taman Kota Nelayan itu memberitahu bahawa dirinya hanya meraih pendapatan harian sebanyak RM50 sehari dengan bekerja sebagai pembantu di pelantar ikan di Kuala Kedah.
Oleh kerana itulah keluarga terbabit tidak berkemampuan untuk membeli makanan, malah tidak dapat membeli barangan keperluan Mohd Aariz termasuklah lampin pakai buang yang dipakainya.
“Wang itulah digunakan untuk menyara kehidupan kami sekeluarga termasuklah membeli keperluan anak lelaki kami dan pergi ke hospital. Kalau saya bekerja barulah ada gaji.
“Kami pernah terputus bekalan makanan selama beberapa hari pada minggu lepas kerana saya tidak bekerja selama 12 hari akibat demam campak. Kami tidak tahu hendak buat apa lalu ke Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
“Alhamdulillah, kami dapat bantuan wang segera yang mana ia digunakan untuk membeli lampin pakai buang dan makanan,” kata bapa kepada Mohd Aariz yang baru berusia 11 bulan itu.
Mohd Azlan turut menghargai keperihatian Datuk Seri Anwar Ibrahim selain berterima kasih kepada orang ramai ekoran nasib keluarganya mula berubah apabila gambar mereka menaiki motosikal ditularkan di media sosial.
Sementara itu, ibu kepada Mohd Aariz iaitu Norhidayu berkata, masalah kesihatan anak lelakinya mula dikesan ketika berusia dua bulan sewaktu membawa abangnya, Iman Fayruzz Mikhail Abdul Rahim, 9, mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Iman Fayruzz adalah anak daripada hasil perkongsian hidup Norhidayu bersama bekas suaminya di mana kanak-kanak itu turut menghidap pelbagai jenis penyakit kronik termasuklah jantung berlubang.
Menurutnya, Mohd Aariz perlu bergantung sepenuhnya kepada mesin CPAP dan susu untuk meneruskan hidup selepas didapati menghidap pelbagai masalah kesihatan antaranya penyakit paru-paru kronik, gerd dan saiz limpa besar.
“Saya melihat keadaan Mohd Aariz agak pelik apabila ada lekuk di dadanya ketika bernafas lalu meminta doktor memeriksa keadaannya. Jadi, sejak itulah Mohd Aariz perlu memakai mesin CPAP sepanjang masa.
“Dia akan sukar bernafas sekiranya tidak memakai alat bantuan pernafasan ini. Kami tidak mampu beli susu khas dan cuba berinya nestum namun Mohd Aariz tidak boleh menjamahnya disebabkan keadaan kesihatannya.” Ulasnya.
Selain Mohd Aariz dan Iman, Norhidayu turut memiliki tiga lagi anak lagi iaitu Ahmad Hafizi, 17, yang menghidap cerebral palsy, Ahmad Amirul Amin, 14, dan Nur Rabbiatul Husna kini berusia 4 tahun.
Bagaimanapun anaknya yang lain kecuali Nur Rabbiatul dijaga oleh ibu bapanya berikutan dia dan suami tidak berkemampuan dari segi kewangan kerana pendapatan di pelantar ikan adakalanya tidak mencukupi.