Pelakon kontroversi, Ruhainies terkejut apabila namanya dikaitkan dengan dakwaan seorang artis tempatan cuba memikat kekasih selebriti terkenal dari Thailand, Bow Maylada iaitu Alek Teeradetch.
Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas bagaimanapun tidak menafikan dirinya mengenali selebriti berkenaan dan teman lelakinya yang juga merupakan seorang pelakon.
Namun menurut pelakon berusia 32 tahun itu, mereka hanya sekadar kenalan biasa yang baru sahaja bertemu ketika bersama-sama pergi ke Kazakhstan di atas urusan kerja, lapor Oh Bulan.
Jelas Ruhainies, dia mengetahui bahawa isu tersebut tercetus selepas sebuah portal tempatan menerima satu e-mel layang dikirim pihak tidak kenali yang didakwa cuba memburukkan namanya.
“Berita itu timbul selepas sebuah portal menerima satu e-mel layang daripada ‘anonymous’ dan saya tidak rasa e-mel itu dikirim sendiri oleh pelakon wanita dan lelaki Thailand itu.
“Mustahil juga mereka tahu e-mel portal tempatan kan. Mereka pula artis terkenal, tiada masa nak buat begitu. Memang saya dan dua pelakon itu ada pergi ke Kazakhstan bersama beberapa lagi individu.
“Namun (pertemuan) itu atas urusan kerja. Saya kenal mereka pun di sana dan tidak lebih daripada kenalan biasa,” kata pelakon yang mula dikenali ramai menerusi drama bersiri Hello Mr. Perfect itu memetik laporan Oh Bulan.
Dakwa Ruhainies lagi, e-mel layang sedemikian sengaja dilakukan beberapa kali oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak bulan Mac lalu dengan tujuan untuk menutup periuk nasinya.
Walau bagaimanapun, pelakon terbabit tetap percaya bahawa setiap rezeki sudah diaturkan Allah meskipun ada pihak yang berniat tidak baik cuba untuk menjatuhkannya.
“Sebenarnya e-mel yang cuba jatuhkan saya bukan sekali dua berlaku, tetapi sudah banyak kali. Pihak itu juga sengaja buat cerita tidak benar dan e-mel kepada brand yang saya kerjasama supaya nama jadi buruk.
‘Saya rasa ada pihak yang dibayar berbuat demikian. Saya tahu siapa yang buat, sebab boleh semak IP e-mel itu. Perkara ini masih dalam siasatan. Kes e-mel layang yang mahu jatuhkan nama saya ini berlaku sejak Mac lalu.
“Apa pun saya percaya rezeki datang dari Allah. Seberapa banyak pihak ‘anonymous’ itu cuba jatuhkan saya, kalau rezeki Allah sudah tertulis tiada yang dapat halang.” Jelas Ruhainies lagi.
Terdahulu, seorang selebriti tempatan didakwa mencuba memikat aktor Thailand iaitu Alek Teeradetch yang juga teman lelaki kepada selebriti terkenal negara itu ketika menyertai satu percutian, baru-baru ini.
Perkara tersebut didedahkan oleh seorang individu yang mendakwa selebriti tempatan terbabit turut mencuba nasib untuk mengurat seorang lelaki dikenali sebagai Erik.
Walaupun individu berkenaan tidak menamakan mana-mana selebriti, namun netizen tempatan memetik nama Ruhainies selepas mereka mendapatkan bayangan daripada e-mel tersebut.