Terpedaya janji manis untuk berkahwin, jururawat rugi RM134,000

Oleh KIM SYAZIE

Masih ada lagi yang senang memberikan duit kepada orang dikenali melalui atas talian sahaja sehingga sanggup memberi ratusan ribu ringgit.

Seorang jururawat di Muar berputih mata selepas ditipu dengan janji untuk berkahwin dengannya.

Tidak hanya terpedaya dengan janji manis, wanita tersebut juga mendakwa dirinya kerugian RM134,000 selepas ditipu lelaki yang baru dikenali beberapa minggu lalu.

Lelaki yang dipercayai warga Indonesia itu hanya dikenali melalui Facebook sahaja dan jururawat berusia 40 tahun dikatakan kerap berhubung melalui telefon.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata dalam perkenalan itu, suspek turut berjanji mengahwini mangsa.

Beliau berkata, selepas berkenalan, suspek memberitahu mangsa mahu meminjam sejumlah wang untuk membeli tiket kapal terbang ke Malaysia kerana ibunya jatuh sakit.

“Suspek berjanji mahu membayar balik wang dipinjamkan selepas pulang ke Malaysia. Atas kepercayaan itu, mangsa telah meminjamkan wang sebanyak RM300.

“Selepas itu, suspek menyatakan hasrat mahu mengahwini mangsa selepas pulang ke Malaysia.

“Dia juga akan memindahkan sejumlah wang RM134,000 kepadanya untuk perbelanjaan termasuk majlis perkahwinan,” katanya dalam kenyataan.

Malah suspek turut meminta mangsa membuat beberapa bayaran untuk pelepasan cukai, dan tujuh transaksi berjumalah RM8,820 kepada akaun bank sama.

Apabila wang dijanjikan tidak masuk ke akaun, wanita tersebut terus membuat laporan polis.

“Justeru, polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati kerana masih ada lagi individu percaya dengan melayan ‘scammer’ menerusi modus operandi sama,” katanya.

Baca juga: Pasangan datuk dan nenek sanggup berjalan kaki kerana rindukan cucunya