Seorang wanita tidak pernah menyangka bahawa suami dan juga bapa kepada anaknya adalah abang kandungnya sendiri.
Patah hatinya, semuanya terbongkar di usia perkahwinan mencecah dua tahun setelah ibu mentuanya membuat satu pendedahan yang mengejutkan.
Selama ini hanya mengunci mulut, ibu mentuanya rupa-rupanya pernah bernikah secara rahsia di selatan Thailand dengan seorang lelaki.
Tidak pernah membuat pengesahan nikah, rumah tangga ibu mentua bagaimanapun tidak tahan lama dan bercerai setelah suami wanita itu lahir.
Akhirnya mendedahkan surat nikah di Thailand, wanita itu terperanjat saat melihat nama suami yang tertera pada dokumen milik mentuanya.
Mana tidaknya, maklumat nama bapa mentua dan juga nombor kad pengenalan lelaki itu persis dengan arwah bapa kandungnya sendiri.
Kejadian itu diceritakan semula oleh peguam Syarie, Fahmi Ramli menerusi laman Facebook sebagai satu pengajaran agar tidak merahsiakan pernikahan.
“Dulu, dia ajak ibu mentuanya nikah di Siam kerana tidak dapat restu. Bahkan, katanya dia tidak ada sesiapa, duda.
“Apabila ditunjukkan gambar almarhum ayah mentua yang terselit dicelah fail sijil nikah tersebut, terkejut beruk wanita itu,” katanya.
Menurut Fahmi, pernikahan wanita itu perlu difailkan segera melalui permohonan faraq nikah (pembubaran perkahwinan) di Mahkamah Rendah Syariah.
Manakala, anak mereka boleh dianggap sebagai anak persetubuhan syubhah dan perlu membuat permohonan pengesahan nasab.
Baca juga: Dijanjikan kemewahan lepas kahwin, isteri kedua terduduk lepas tahu hal sebenar