Terpulang kepada Tun M tentukan masa sesuai, kata Anwar

Terpulang kepada Tun M tentukan masa sesuai, kata Anwar

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai komitmen untuk berkongsi pengalaman politiknya di Malaysia dan negara luar.

Sehubungan itu, beliau tidak berhasrat untuk bertanding semula di peringkat parlimen dan menyerahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentukan masa yang sesuai.

Memetik laporan Bernama, Anwar akan menghadiri program-program penerangan mengenai rancangan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) membina semula negara.

“Saya baru balik dari London sehari sebelum Raya dan semua orang nak tahu semangat perpaduan Malaysia yang berbilang kaum sehingga mampu menjatuhkan kerajaan lama dan membina kerajaan baharu.

“Mereka kagum dengan Malaysia dan rakyatnya dan mahu mengetahui bagaimana kita melakukannya.

“Saya akan pergi ke Turki esok untuk bertemu dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan, yang juga rakan saya dan kemudian akan memenuhi undangan beberapa negara Asia serta Arab,” katanya.

Anwar demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar di Pulau Pinang, malam semalam.

“Selepas sekian lama meninggalkan Permatang Pauh, saya teruja dengan sokongan yang masih diberikan oleh penduduk di sini,” katanya.

Lebih 2,000 pengunjung menghadiri majlis itu Dataran Rakyat Guar Perahu dekat Penanti di sini dan antaranya Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta beberapa pemimpin kerajaan negeri.

COMMENTS

Wordpress (0)