Terpulanglah kepada mereka yang nak bersendirian, kata PKR

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli meminta parti yang tidak terlibat dengan Pakatan Harapan agar jangan memberikan ulasan berlebihan dan terpulanglah dengan keputusan mereka mahu bersendirian dan saling menasihati Umno.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli meminta parti yang tidak terlibat dengan Pakatan Harapan agar jangan memberikan ulasan berlebihan dan terpulanglah dengan keputusan mereka mahu bersendirian dan saling menasihati Umno.

“Yang tandatangan perjanjian ini Keadilan, DAP dan Amanah. Yang kami nak lawan adalah Najib dan konconya dalam Umno yang menyusahkan rakyat.

“Yang parti lain tidak terlibat itu terpulanglah dengan keputusan kamu, sudah buat keputusan untuk bersendirian dan saling menasihati Umno,” katanya yang dipercayai ditujukan kepada PAS yang kini dilihat mahu bekerjasama dengan Umno.

Tambah beliau lagi, sikap terlalu banyak mengata kepada pihak lain tidak menyerlahkan nilai akhlak Islam walhal sepatutnya lebih baik menumpukan pada misi parti masing-masing.

Rafizi dipercayai mengulas ulasan berlebihan sesetengah pihak termasuk PAS mengenai konvensyen pertama Pakatan Rakyat.

Susulan Perjanjian Pakatan Harapan yang dimeterai kelmarin antara PKR, Amanah dan DAP, kesatuan politik itu akan memastikan tidak akan lagi terjerat dalam pertelingkahan berlarutan yang merugikan rakyat sekaligus membiarkan kerajaan BN melakukan penyelewengan dan pembaziran.

Rafizi ketika dihubungi Malaysia Dateline berkata, Pakatan Harapan yang bermesyuarat Sabtu lepas tidak mahu lagi terperangkap dalam politik kepartian sempit selepas ini.

“Kami tidak akan terperangkap dengan sentimen sempit kepartian yang tidak membawa manfaat kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” tegas Naib Presiden PKR itu.

Mengulas reaksi berlebihan penyokong PAS termasuk di akaun Facebook beliau, Ahli Parlimen Pandan  itu berkata, tindakan mereka menyerang muafakat yang terjalin antara ketiga-tiga komponen parti dalam Pakatan Harapan hanya akan memanjangkan hayat kuasa Perdana Menteri.

Menurutnya, keputusan parti lain untuk tidak bersama-sama dalam permuafakatan parti pembangkang adalah dihormati tetapi pada masa sama tidak perlu memperlekeh usaha PKR, Amanah dan DAP yang sedang menjalankan tanggungjawab bagi membela rakyat.

Terdahulu, Rafizi dalam kenyataan bersama Majlis Setiausaha Pakatan Harapan semalam berpendapat misi paling utama kesatuan politik itu pada masa ini adalah memberi tumpuan kepada isu-isu kebajikan rakyat yang tertekan dengan segala tindakan dan dasar Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dalam bulan Januari 2016 ini, ada beberapa peristiwa penting yang akan berlaku yang membawa kesan besar kepada rakyat. Ini adalah proses semakan semula Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2016 yang terpaksa dibentangkan semula oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kerana unjuran pendapatan Kerajaan Persekutuan kini tidak lagi dapat menampung perbelanjaan.

“Satu lagi peristiwa penting ialah sidang khas Parlimen pada 26 dan 27 Januari 2016 untuk membahaskan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang akan membawa kesan besar kepada rakyat,” dipetik daripada kenyataan yang turut dipersetujui bersama Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung Amanah, Mohamad Anuar Tahir dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook, semalam.

TAGS