Malaysia Dateline

Terputus bekalan makanan: Kibarkan bendera putih

“Mana-mana rumah yang terputus bekalan makanan dan memerlukan bantuan segera, sila kibarkan bendera putih.”

Itu pesanan Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional hari ini susulan masalah yang dialami golongan rentan dan berpendapatan rendah impak Covid-19 dan lanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua AWAN Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, beliau menyambut baik kempen awam Kibarkan Bendera Putih yang digerakkan pihak yang prihatin.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa kami dari AMANAH dan khususnya AWAN sangat gembira untuk turut serta dalam menjayakan kempen bantuan awam ini.

“Saya menyeru kepada rakan-rakan ahli AMANAH, khususnya AWAN agar terus cakna kepada rakyat di persekitaran kita, sekaligus bersegera menghulurkan bantuan yang bersesuaian dan diperlukan oleh mana-mana rumah yang mengibarkan Bendera Putih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Warganet dilihat menggerakkan kempen #BenderaPutih sebagai lambang kemarahan dan kekecewaan rakyat kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui bersama oleh Bersatu, Pas, Umno, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan lain-lain.

Reaksi awam itu susulan kegagalan kerajaan PN diterajui Mahiaddin Yassin menguruskan pandemik Covid-19 apabila negara masih mencatatkan angka tinggi kes harian melebihi 5,000 kes.

Kempen #BenderaPutih di media sosial itu juga muncul selepas kerajaan gagal mengelak lebih ramai rakyat daripada menjadi mangsa kepada krisis ekonomi, politik dan pentadbiran negara dengan Parlimen masih tidak bersidang.