Seorang warga emas terpinga-pinga selama 3 jam di stesen KTM Alor Setar kerana menunggu anaknya namun sebaik anak lelakinya tiba dia pula kena ‘sound’ kerana ambil tiket kereta api awal sangat.
Warga emas berusia dalam lingkungan 70 tahun itu dikatakan ambil tiket kereta api awal pagi dari Perlis ke Alor Setar dan diminta anaknya agar menunggu dia sekiranya sampai.
Sebaik sampai di stesen Alor Setar ibu yang membawa beg pakai serta plastik mengandungi makanan berkali-kali menghubungi anak lelakinya namun tidak berjawab sehingga kredit telefon bimbitnya habis.
Makcik berkenaan yang tidak sanggup tunggu lagi lama, terpaksa meminjam telefon daripada anak gadis ini yang kebetulan sedang menunggu untuk menjemput kawannya.
“Adik, makcik nak pinjam telefon sat (sekejap). Telefon makcik tak ada kredit. Ni makcik nak telefon anak makcik, tiga jam dah tunggu,” tulis gadis itu di Twitter @fatinuraini_ yang kemudiannya tular sejak Selasa lalu.
Dalam posting yang sama Fatin menulis: “Kami telefon anak lelaki dia tapi saya seakan tak percaya dengan apa yang saya dengar, ‘Mak ni sabaq (sabar) la sat. Cek (saya) tak larat. Satgi (sekejap lagi) cek pi (pergi),”
Menurut Fatin, selepas makcik berkenaan membuat panggilan kepada anaknya, setengah jam kemudian anak lelakinya sampai.
“Bila anaknya sampai, saya pun beritahu yang makcik dah tunggu tiga jam. Lepas tu dia pandang mak dia dan kata, ‘Mak ni, kenapa ambil tren awal kalau tak boleh tunggu’,” ujar Fatin, sambil menambah meskipun anak lelaki warga emas itu tidak bercakap dengannya, tetapi dia masih dapat mendengar butiran perbualan mereka, dipetik Mstar Online.
Warga emas itu memberitahu dia datang ke Alor Setar untuk berjumpa dengan anak sulung dan tiga cucunya.
“Makcik tu kata dah lama sangat tak jumpa dengan anak dan cucu-cucu dia. Jarang pula berhubung menerusi panggilan telefon. Dia rindu, tu yang datang ke Alor Setar.
Bagaimanapun perkongsian Fatin di Twitter mendapat pelbagai reaksi termasuklah dikecam kerana bersikap ‘judgemental’ atau mudah menghakimi orang lain.
Walaupun tidak mengetahui sejauh mana hubungan mereka, Fatin menjelaskan pandangannya itu menyentuh hatinya dan melibatkan perikemanusiaan antara ibu dan anak.
“Macam mana saya tak ‘judge’ sebab dia biarkan mak dia tunggu sampai tiga jam… bukan 10 minit ke setengah jam.
“Bayangkan, makcik tu tunggu sampai tengah hari. Dia dah berpeluh-peluh, bila saya tanya pasal teksi, dia cakap bawa duit cukup-cukup. Bila saya tawar untuk tempahkan (perkhidmatan) Grab, makcik tu tak ingat alamat rumah anaknya.
“Walaupun di situ tempat awam, tapi masih tak selamat untuk makcik dengan usia sebegitu terpaksa tunggu lama-lama. Saya bukan overreact (bertindak keterlaluan) tetapi lebih kepada common sense (pertimbangan secara waras),” katanya.
Baca juga: Pengumuman calon oleh Anwar selesaikan ‘soksek-soksek’ dalaman PKR dan AMANAH
Baca juga: Kahwinkan dua patung ‘dewasa’ siap dengan pakaian tradisional di tapak suci, lelaki ditahan polis