Malaysia Dateline

Tersinggung dengan cara berfikir menteri KPT

Rakyat sekali lagi tersinggung dengan cara berfikir kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad menganjurkan pertandingan Tik Tok.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Faiz Fadzil, walaupun idea menteri tersebut telah ditarik balik, namun ia menunjukkan daya pemikiran menteri yang tidak sensitif dengan keadaan rakyat terutama mahasiswa yang sedang bergelut melawan penularan wabak Covid-19, apatah lagi kebanyakan urusan sedang terkandas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Penganjuran Tik Tok seolah-olah merendahkan tahap intelektual mahasiswa. Ketika PKP mula dilaksanakan, sesi pengajian sedang berjalan di universiti dan kolej.

“Namun, susulan PKP ada mahasiswa yang terperangkap di kampus yang mana sudah sekian lama tidak berjumpa dengan keluarga dan juga yang terperap di rumah serta tidak dapat meneruskan pengajian seperti biasa.

“Dalam tempoh PKP tatkala ini, beberapa universiti dan kolej telah melakukan inisiatif dengan menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara atas talian bagi memastikan pembelajaran dan pengajaran terus berjalan walaupun ketika PKP dilaksanakan,” jelasnya.

Tegas beliau, bagaimana pula dengan universiti atau kolej yang tidak melaksanakan inisiatif ini.
Malahan, lebih teruk lagi bagi pelajar luar bandar yang tidak mempunyai akses internet yang sempurna. Mereka juga sudah semestinya tidak mahu ketinggalan dalam pembelajaran.

Tambah Faiz, selain itu, mahasiswa juga ingin mengetahui apakah hala tuju pembelajaran mereka selepas PKP ini berakhir. Adakah masih sama seperti sebelumnya.

“Kita perlu memastikan universiti dan kampus yang menjadi tempat mahasiswa menuntut ilmu selamat dan bebas daripada Covid-19.

“Sehubungan itu, kementerian perlu menyediakan langkah-langkah terbaik bagi memastikan sekiranya universiti dan kampus dibuka semula selepas PKP, mahasiswa dapat mengikuti pembelajaran dengan selamat.

“Ini belum lagi persoalan yang masih lagi membelenggu pemikiran ekoran penularan wabak Covid-19 seperti yuran, praktikal, peperiksaan, pinjaman pendidikan terutamanya PTPTN dan seumpamanya yang masih lagi kabur setakat ini,” ujar beliau.

Sejajar dengan itu katanya, adalah diharapkan Menteri Pengajian Tinggi lebih sensitif dalam menangani isu melibatkan kepentingan dan kebajikan mahasiswa kerana mereka adalah generasi muda yang menjadi harapan untuk memacu kemajuan negara serta kemakmuran rakyat sepertimana kata tokoh kemerdekaan Filipina, Jose Rizal ‘The youth is the hope for the future’.