Malaysia Dateline

Tertutupnya sebuah ‘kampung’ jika Utusan ditutup

Kenangan. 1982. Ketika aku mula bekerja, pejabat Utusan yang bersamanya ada kilang cetak sememangnya macam kampung. Meriah. Sentiasa ada orang 24 jam kerana kerja buat suratkhabar dan cetak memakan masa sehingga fajar. Menjelang pagi lori keluar masuk. Ada saja orang minum minum di tepi Jalan Lima itu.

Ia juga macam kampung kerana ada orang tua, orang muda, remaja, abang, kakak, makcik, pakcik, atuk, nenek. Yang jadi budak pejabat itu berusia belasan tahun. pemberita muda macam aku berusia 20-an, semua peringkat umur ada. Hinggalah paling tua iaitu Pak Sako. Mungkin usianya 70-an. Usia bersara ialah 55. Tetapi syarikat seringkali mengundang wartawan veteran untuk menjadi penulis tamu. Mereka disediakan bilik dan ruangan kolum dalam akhbar. Mereka bebas untuk gunakan kutub khanah syarikat.

Pemberita muda seperti aku apabila habis kerja sering menziarahi beliau dan mendengar kisah kisah lama sejarah perjuangan rakyat.

Adanya pelbagai generasi dalam pejabat ini penting. Yang tua memberi tunjuk ajar pada yang muda mengenai penulisan, persuratan dan juga politik serta semua lapangan masyarakat. Sebagai tempat kerja akhbar tentulah masing masing mempunyai kepakaran. Ada ustaz, ada sasterawan, ada penulis lirik, ada pakar jenayah, ada pakar mahkamah, ada pakar sukan, malah ada pakar lumba kuda.

Bila ada majlis agama di surau, akan dapat lihat pelbagai peringkat usia dan latar belakang. Sememangnya Utusan adalah sebuah kampung. Ada majlis hari raya. Berbuka sama. Ada terawih. Selalu buat kenduri dan tahlil. Surau Utusan ada van jenazah sendiri. Taraf kewangan kakitangan juga pelbagai. Ada yang berada. Dan banyak juga yang gaji habis setiap bulan. Tetapi semuanya bertegur sapan memang macam kampung.

Kegiatan ko-kurikulum pun banyak. Ada pasukan bola sepak, bola jaring, badminton, boling dan karom. Ada juga kumpulan kugiran.

Pejabat Utusan juga tempat orang datang berniaga. Syed mamak datang jual buku dan majalah. Tukang jahit pun ada datang ambil tempahan. Semuanya boleh berhutang.

Kerja di pejabat akhbar adalah menyeronokkan,. Bising dengan bunyi ketukan mesin taip. Dengan ruang penuh kepulan asap. Tanpa rokok dan kopi. ilham menulis terbantut. Bunyi orang berbahas dan ketawa menghilai sering kedengaran.

Melihat ke ruang kerja pengarang, ialah deretan gambar-gambar tokoh tokoh lama Utusan. Ada gambar Yusof ishak, pengasas utusan dan presiden pertama Singapura. Gambar Rahim Kajai, bapa kewartawanan moden.

Semua wartawan Utusan dididik secara turun temurun dari pengarang pengarang terdahulu. Sanadnya bersambung dari Rahim Kajai, Samad ismail hinggalah pada Said Zahari.

Sekiranya Utusan ditutup, ia bukan saja memusnahkan sebuah kampung yang terbina sejak tahun 1939 di Singapura, tetapi ia mengakhiri satu tradisi kewartawanan yang susur galurnya bersambung kepada zaman ketika Singapura merupakan pusat intelektual Melayu, kerana di situlah berhimpun wartawan, sasterawan, seniman, pembikin filem, penerbit buku serta juga pejuang-pejuang politik.