Peminat barang kemas terutama kaum wanita diingatkan jangan terlalu ghairah beli emas ketika harga emas sedang jatuh. Mereka perlu beringat emas ini ada banyak jenis dan mereka harus tahu supaya elak kena tipu.
Tidak dinafikan membeli emas sama ada dalam bentuk barangan kemas atau jongkong merupakan pelaburan yang baik bagi jangka masa panjang.
Sejak harga emas turun dalam tempoh kebelakangan ini, ramai yang menyerbu kedai-kedai emas membeli perhiasan yang dihajati seperti pulut dakap, coco, jagung, lipan, biskut tawar, roti bun, anggur dan sebagainya.
Ada yang kata beli ketika harga emas jatuh sebelum ianya melonjak naik semula ke paras yang lebih tinggi.
Dalam keghairahan memiliki logam kalis inflasi itu, elakkan diri tertipu. Jangan mudah terpedaya dengan kilauannya, pastikan wang yang dilaburkan memberikan pulangan berbaloi.
Ini tip membeli emas daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
1.Pastikan barang kemas ditimbang di depan anda. Semak dan pastikan berat timbangan sama dengan berat yang dipamer pada tanda harga. Sebagai pengguna, anda berhak untuk proses timbang dilakukan.
2.Pastikan tiada bahan lain atau barang tambahan semasa proses timbangan dilakukan. Sebagai contoh, tag harga. Ia sepatutnya ditanggalkan kerana boleh mempengaruhi proses penimbangan.
Namun, mereka yang mahu membeli emas haruslah mengetahui jenis-jenis emas supaya tidak rugi kemudian hari. Ini jenis-jenis emas;
Emas 999
Emas yang mempunyai kandungan 99.9 peratus adalah emas tulen yang paling mahal. Ia lazimnya dijadikan barang perhiasan, pelaburan dan peralatan perubatan.
Emas 916
Kandungan emas jenis ini ialah 91.6 peratus dari bahagian emas. Ia adalah emas perhiasan paling tulen dalam barang kemas yang mempunyai warna kuning keemasan. Emas 916 lazimnya dijadikan emas perhiasan kosong tanpa permata kerana sifatnya yang lembut.
Emas 875
Emas ini selalunya dijadikan perhiasan kosong tanpa batu permata.
Emas 833
Kandungan emas jenis ini adalah 83.3 peratus dan berwarna kuning keemasan. Tidak disarankan untuk pelaburan atau dgandingkan dengan batu permata.
Emas 750
Kandungan emas adalah 75 peratus, ia seimbang daripada segi ketahanan dan ketulenan emas dengan aloi. Ia lebih keras, kukuh, lebih tahan lama dan selamat daripada tindak balas alergi kepada individu yang sensitif kepada nikel. Emas jenis ini boleh digandingkan dengan hiasan batu permata tetapi tidak sesuai untuk pelaburan.
Emas 585
Kandungan emas adalah 58.5 peratus keras, kukuh, lebih tahan lama dan lasak namun tidak selamat dari tindak balas alergi pada orang yang sensitif kepada nikel. Emas perhiasan ini sering digandingkan dengan batu permata pelbagai warna. Pun begitu, kandungan logam lain lebih banyak daripada emas dan tidak sesuai untuk pelaburan.
Emas 417
Kandungan emas adalah 41.7 peratus. lebih keras, kukuh, lebih tahan lama, tidak mudah tercalar atau bengkok. Bagaimanapun ia tidak sesuai dipakai mereka yang sensitif kepada nikel. Emas ini dijadikan barang kemas yang mempunyai hiasan batu permata.
Emas 375 atau suasa
Dengan kandungan emas 37.5 peratus, ia kebiasaannya digunakan untuk membuat cincin suasa untuk lelaki.
Sudah tahu jenis-jenis emas dan nama nama emas, diharapkan lebih mudahlah anda membeli barangan perhiasan mengikut kesesuaian dan citarasa sendiri.
Baca juga: Tidak perlu ke kedai, guna bahan di rumah saja barang kemas pasti bersinar macam baru!
Baca juga: Wanita kongsi sebab dobi layan diri bagi sabun percuma, jangan suka tambah sabun debu sendiri