Malaysia Dateline

Teruja beli meja makan RM180 pembantu kedai rugi RM42,878

Gara-gara teruja dengan jualan meja makan di laman sosial Facebook seorang pembantu kedai di sini kerugian RM42,878.

Mangsa berusia 51 tahun, membeli perabot rumah itu dengan ‘harga tinggi’ walhal ia hanya dijual RM180 di laman sosial tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula pada Selasa lalu apabila mangsa teruja melihat satu iklan penjualan perabot di Facebook.

Teruja beli meja makan RM180 pembantu kedai rugi RM42,878
Mohd. Wazir

“Mangsa berminat membeli satu set meja makan berikutan harga ditawarkan begitu murah hanya sekitar RM180,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, mangsa membuat pembayaran melalui pautan yang diberikan oleh suspek.

Katanya, selepas menekan pautan tersebut mangsa perlu memasukan nama pengguna dan kata laluan akaun bank miliknya.

“Selepas mangsa berbuat demikian, dia mendapati wang simpanan dalam akaun banknya telah berkurang sebanyak RM42,878.

“Selepas kejadian itu, mangsa cuba menghubungi suspek namun gagal dan mengesyaki telah ditipu sebelum tampil segera membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan segala keterangan mangsa sudah direkodkan,” katanya dipetik Utusan.