Malaysia Dateline

Teruk dikritik, KKM sempat tutup ruangan komen di Facebook

Susulan peningkatan kes Covid-19 dalam negara dengan lebih seminggu merekodkan kes melebihi 2,000, Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dihujani kritikan dari pengguna media sosial.

Ketika ini wujud dakwaan bahawa angka kes baharu Covid-19 yang dilaporkan kerajaan merupakan nombor yang direka untuk menyekat rakyat Malaysia melakukan aktiviti rentas negeri menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Pengguna Muhd Allan berkata, kerajaan seharusnya mempamerkan data terperinci sebagai bukti kenaikan kes dan bukan hanya melaporkan nombor.

Ia turut disokong pengguna Aqil Irfan yang memberi amaran agar KKM di bawah pentadbiran Datuk Seri Dr Adham Baba untuk tidak menyebabkan rakyat hilang kepercayaan.

“KKM jangan buat rakyat bosan dan hilang kepercayaan. Takut nanti pilihan raya menteri kamu auto kena tendang oleh rakyat dan kamu pun susah dalam kerja kamu,” katanya.

“Hari-hari naik tak tahu mai celah mana. Pening jugak. Tak bagi raya pula ke,” kata Muhammad Hasmawi.

Untuk rekod, setakat semalam, negara mencatatkan 2,690 kes baharu dengan keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 392,942.

“Nak dekat raya je kes naik, hairan sungguh. Nak rentas tak boleh, macam mana kes boleh banyak?,” soal pengguna lain.

Pada masa sama, pengguna Eswari Devi meminta kerajaan untuk mencontohi negara jiran yang dikatakan berjaya mengawal wabak Covid-19, lebih-lebih lagi apabila ‘kluster sekolah’ mula menyerang kembali.

“Kawal pergerakan orang masa hujung minggu. Kawal jumlah orang keluar rumah, jamuan dan perjumpaan. Jangan dah teruk baru nak buat sesuatu,” tulisnya.

Berikutan kritikan yang dilemparkan, FB rasmi KKM itu didapati telah menutup ruangan komen mereka untuk sementara waktu sebelum dibuka semula.

Bagaimanapun, ruangan komen KKM berterusan dihujani kritikan orang ramai.

“Teruskan drama anda KKM,” sindir pengguna Syafiq Asyraf.