Teruk sangatkah disiplin pelajar kita?

Shamsul Maarif Ismail

Baru-baru ini Negara dikejutkan dengan kes Cikgu Azizan yang menjadi tular di media sosial yang dikatakan menampar seorang anak muridnya yang dianggap telah melakukan satu pelanggaran disiplin di sekolahnya.

Majoriti besar para pendidik mahupun para netizen ramai yang memberi sokongan namun ada juga yang tidak menyokong atas sikapnya itu.

Jika hal ini tidak diurus dengan bijak, ianya akan menjadi isu politik yang akan meresahkan pihak tertentu apatah lagi pilihanraya sudah semakin hampir.

Mahkamah Majistret telah melepas tanpa bebas Cikgu Azizan daripada pertuduhan mencederakan muridnya pada April 2017 atas arahan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan. Mengikut kertas pertuduhan, Cikgu Azizan, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun di kawasan sekolahnya.

Tindakan beliau itu jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan boleh diberi hukum penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya. Ini bukan bermakna cikgu terlibat telah bebas sepenuhnya. Jika pihak keluarga kanak-kanak itu tidak berpuas hati mereka masih ada hak untuk membuat rayuan ke mahkamah lebih tinggi.

Apa yang menarik dalam kes di atas ialah ianya bukan satu kejadian yang asing sejak zaman berzaman dalam dunia pendidikan di Negara kita. Apa yang berbeza ialah perubahan dalam prosedur hukuman di sekolah yang telah ditetapkan bidang kuasa oleh Kementerian Pendidikan Malaysia mahupun perkara yang melibatkan Akta Kanak-Kanak (pindaan)2016.

Semasa penulis bersekolah rendah pada tahun 70an mahupun di sekolah menengah di kampung dahulu ada pelajar yang ditampar kerana kurang ajar adalah perkara biasa. Bahkan jika anak tersebut nakal dan dihukum rotan di sekolah, ayah pelajar terbabit akan menambah sekali lagi rumah. Atau jika pihak sekolah memaklumkan kepada ibu bapa akan kesalahan anak-anak mereka, ibu bapa akan mengatakan “rotan sahaja cikgu!”

Hubungan ibu bapa dan sekolah dahulu amat berbeza dengan sekarang. Ibu bapa menyerahkan anak mereka kepada para pendidik di sekolah dengan sepenuh kepercayaan. Anak-anak juga kadangkala mendengar kata-kata guru lebih dari kata-kata ibu bapa.

Tidak kurang juga ada bapa bekerja sebagai seorang nelayan di laut akan meletakkan sedikit ikan di dalam plastik di rumah guru jika dia pulang dari laut atas rasa syukur anak mereka diberi didikan di sekolah. Pelajar juga sangat hormat apabila melintas depan guru akan jalan dengan tunduk dengan sangat sopan.

Ada juga pelajar perempuan yang rajin menyapu sampah bilik gurunya dengan penuh kasih sayang kerana mereka tahu guru mereka adalah ibarat ibu bapa mereka membimbing mereka menjadi orang yang berjaya.

Ada juga kata-kata ibu bapa di zaman dulu apabila menyerahkan kepada anak mereka kepada para Alim atau Tuan Guru agar didiklah anak mereka dengan apa sahaja cara asal “ tak patah” sudahlah.

Lantaran itu anak-anak cukup takut atau amat hormat kepada para guru mereka kerana mereka arif tujuan guru mereka menghukum bukanlah kerana mereka benci kepada mereka akan tetapi ingin mendidik dan menghukum sebarang kelakuan nakal atau buruk yang dianggap boleh menjejaskan masa depan mereka sesuai dengan pepatah Melayu “ melentur buluh biar dari rebungnya”.

Dalam pendidikan aspek hukuman adalah perkara biasa. Cuma ia pilihan terakhir selepas kaunseling, amaran dan hukuman ringan telah dilaksanakan oleh sekolah. Sekiranya pelajar tersebut terus melanggar dan mencabar sekolah maka hukuman fizikal adalah antara yang terakhir. Kuasa untuk melakukan hukuman juga amat terhad dan perlu melalui satu siasatan oleh pihak sekolah secara professional.

Jika pelajar tersebut masih berdegil maka hukuman terakhir ada yang digantung mahupun dibuang sekolah.

Saya mempunyai ramai rakan yang dahulunya dihukum oleh Pengetua mahupun Guru Disiplin kini memegang jawatan besar dalam Agensi Kerajaan dan tak kurang menjadi Pengetua sekolah.

Ini semua adalah berkat didikan guru yang sayang kepada murid-muridnya tanpa mengenal penat dan lelah. Itu kisah lama yang hanya menjadi pengajaran dan pendidikan kini sudah berubah.

Sebelum ini Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengenal pasti sebanyak 402 buah sekolah di seluruh negeri mempunyai masalah disiplin dan penyalahgunaan dadah.

Pendedahan statistik ini mendapat respon yang meresahkan dan bukan menggembirakan para pendidik serta ibu bapa kerana senarai tersebut telah memberi imej buruk kepada sekolah mereka.

Selain itu kes buli seperti dilapor oleh akhbar Utusan Malaysia pada 18 Jun 2017 yang lalu terdapat 14,000 kes buli di sekolah-sekolah di seluruh negara antara tahun 2012 dan 2015 dan ianya juga melibatkan penderaan fizikal.

Meninjau semua fakta dan maklumat yang telah dikemukakan oleh pelbagai pihak dan agensi kerajaan isu pendidikan di Negara kita adalah amat serius. Ianya bukan sekadar isu hukuman oleh seorang guru terhadap anak muridnya.

Ianya melibatkan seluruh iklim persekolahan dan sistem pendidikan Negara yang perlu sentiasa dikaji dan dibaik pulihkan seberapa segera mungkin.

Merujuk kembali isu hukuman ke atas kanak-kanak atas apa-apa sebab ianya bukan hanya tertakluk kepada pihak sekolah yang melibatkan guru malah ianya juga melibatkan ibu bapa dan penjaga. Isunya bukan isu hukuman semata-mata namun dalam melaksanakan hukuman tersebut tidak boleh membahayakan atau mencederakan fizikal mahupun emosi kanak-kanak.

Kerapkali hal ini sering berlaku dalam masyarakat tidak kira dimana kanak-kanak tersebut tinggal. Misalannya jika mereka berada di asrama sekolah apabila pihak tertentu seperti guru yang diamanahkan telah gagal memelihara keselamatan kanak-kanak dari ancaman bahaya hingga menyebabkan kecederaan fizikal mahupun lebih parah lagi kematian.

Dan akhirnya menjadi kes jenayah dan melanggar undang-undang yang boleh menjadikan pesalah dihukum berat dan dipenjarakan. Dari hanya niat untuk mendidik anak bangsa kini bertukar menjadi satu kesalahan jenayah pula!

Akhbar Berita Harian melaporkan kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata sebanyak 4,652 kes penderaan kanak-kanak direkodkan sepanjang tahun 2015 hingga tahun lalu., daripada jumlah itu, penderaan fizikal mencatatkan kes paling tinggi iaitu 2,470 kes manakala 2,012 kes adalah penderaan seksual selain penderaan emosi 170 kes.

Sebenarnya ramai pihak masih belum sedar akan kewujudan Akta Kanak-kanak(pindaan)2016 . Akta ini lebih menyeluruh dengan merangkumi pelbagai aspek seperti perlindungan, pemeliharaan, pemulihan, perkembangan dan penyertaan. Ini adalah selaras dengan tindakan pihak Kerajaan Malaysia yang telah menandatangani Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).

Pihak kerajaan khasnya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia perlu menjelaskan dan menghuraikan lebih lanjut kesan Akta tersebut berkaitan hukuman fizikal seperti rotan ke atas kanak-kanak khasnya pelajar sekolah yang berumur kurang dari 18 tahun ke bawah masih terpakai atau wujudnya pengecualian dengan syarat-syarat pelaksanaan yang lebih ketat.

Kesimpulannya ialah tugas mendidik kanak-kanak samada ianya di dalam jagaan ibu bapa mahupun penjaga yang sah mahupun terhadap para pendidik anak bangsa yang berkorban siang dan malam demi masa depan anak-anak kita semuanya tertakluk kepada undang-undang Negara.

Jika kita merasakan ada peruntukan di dalam Akta Kanak-Kanak 2016( dengan pindaan) masih perlu diperbaiki seperti hukuman rotan mahupun menilai semula pendirian kerajaan yang menanda tangani Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak PBB memohon untuk pengecualian dalam hal-hal tertentu adalah dikira bijaksana.

Apa yang kita mahukan ialah semua kanak-kanak di Negara kita selamat dan sejahtera.

Kita juga mahu semua kanak-kanak yang belajar di sekolah di mana-mana sahaja institusi pendidikan awam mahupun swasta dan sekolah agama rakyat diberi didikan dan bimbingan oleh para guru dengan kasih sayang.

Dalam masa yang sama kanak-kanak yang perlu didisipinkan oleh guru perlulah melalui semua proses pendidikan mengikut garis panduan yang dikemukakan oleh KPM secara professional dan bertanggungjawab.

Sebarang perbuatan menghukum pelajar sekolah dengan emosi dan kemarahan yang melampau apatah lagi tanpa mengikut prosedur ditetapkan bukan hanya tidak beretika boleh disabitkan sebagai perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Kanak-kanak kita semua adalah pemimpin masa depan Negara. Mereka perlu hidup dalam persekitaran yang sihat, selamat dan bahagia. Kita mahu mereka gembira dan ceria belajar di sekolah mahupun hidup dan tinggal dengan ibu bapa mahupun penjaga sah mereka.

Sebarang keputusan dan polisi Negara mestilah selaras dengan kehendak Agama Islam dan matlamat syariah dalam memelihara nyawa dan tertakluk kepada Al-Quran dan al-Sunnah serta ijmak para ulama.

CATEGORIES