Terus lapor pada polis kalau nampak lelaki ini, disyaki rakam wanita di dalam tandas

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita berdepan dengan detik cemas apabila terlihat individu tidak dikenali sedang memegang telefon bimbit di bawah pintu ketika menggunakan tandas awam.

Lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu disyaki cuba merakam gambar atau video wanita terbabit dalam tandas yang terletak di sebuah pusat beli-belah bebas cukai.

Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis pada 7 April lalu, sekitar pukul 3.34 petang susulan insiden di Jalan Haji Saman, Pusat Bandar Kota Kinabalu itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian tersebut berlaku pada 6 April iaitu sehari sebelum laporan dibuat mangsa.

Siasatan pihak polis mendapati, mangsa mula menyedari kehadiran lelaki berkenaan ketika menggunakan tandas kira-kira pada pukul 8.40 malam, lapor Harian Metro.

Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah itu mendapati suspek memakai baju berwarna hitam dan berseluar coklat ketika kejadian tersebut berlaku.

“Tindakan suspek (menghulurkan telefon bimbitnya di bawah pintu) dipercayai untuk merakam gambar atau video mangsa di dalam tandas berkenaan. Suspek mempunyai misai dan berjanggut nipis serta berselipar.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkenaan individu dalam rakaman CCTV ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Wan Azman Mat Salleh di talian 012-8260050 bagi membantu siasatan,” katanya memetik laporan Harian Metro, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi memaklumkan bahawa kes kini disiasat polisnya mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengaibkan kehormatan seseorang.

Baca juga: Dulu bertalu-talu dapat ‘job’, pelakon otai tak tahu mana silap sampai 10 tahun tak dipanggil berlakon