Malaysia Dateline

Terus melambung 13,215 kes, Selangor lepasi 6,000 kes Covid-19

Sebanyak 13,215 kes Covid-19 direkodkan hari ini sekaligus peningkatan kes baharu tertinggi untuk tiga hari berturut-turut.

Pertambahan kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak membawa maut itu berjumlah 880,782 kes.

Dalam masa sama, kes harian Covid-19 di Selangor mulai melepasi angka 6,000 iaitu 6,120 kes selepas dua hari berturut-turut mencatatkan angka melebihi 5,000 kes.

Dua lagi negeri dan wilayah dengan empat angka ialah Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur masing-masing 1,603 kes dan 1,499 kes.

Untuk Negeri Sembilan, kes baharu Covid-19 mengalami peningkatan empat hari berturut-turut.

Pertambahan ketara juga berlaku di Kedah dengan 695 kes baharu iaitu peningkatan untuk lima hari berturut-turut.

Dua negeri pula mencatatkan lebih 500 kes hari ini iaitu Johor 599 kes dan Pulau Pinang dengan 509 kes.

Sementara itu, Melaka merekodkan 484 kes manakala tiga negeri lagi dilapor dengan pertambahan melebihi 300 kes iaitu Sabah (370 kes), Sarawak (363 kes) dan Perak 344 kes.

Bagi negeri dalam kategori Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti Kelantan dan Pahang pula masing-masing mencatatkan 255 kes dan 222 kes.

Hanya empat negeri dan wilayah mencatatkan kurang 100 kes baharu iaitu Terengganu (70 kes), Putrajaya (53 kes), Labuan (26 kes) dan Perlis cuma tiga kes.