Teruskan beri kritikan, kami akan dengar, kata Nik Nazmi

Teruskan beri kritikan, kami akan dengar, kata Nik Nazmi

“Sila terus menyokong kami, dan memberi kami kritikan yang jujur dan konstruktif. Mewujudkan Malaysia Baru yang sebenar adalah tanggungjawab bersama kami. Kami akan mendengar anda. Kami akan bertindak atas keperluan dan kerja anda untuk memenuhi impian anda untuk masa depan,”

Demikain kata Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang  menyifatkan gabungan Pakatan Harapan (PH) masih belum memberi naratif yang dapat memenangi sokongan pengundi pelbagai kaum di Malaysia terutama masyarakat Melayu.

Nik Nazmi berkata, masalah yang timbul adalah mesej yang dibawa dan pada hakikat bahawa kerajaan masih belum menunaikan banyak perkara yang dijanjikan kepada rakyat.

Katanya, pengundi sama sekali tidak berhutang apa-apa malah kerajaan sendiri perlu menunjukkan prestasi untuk meraih kepercayaan masyarakat pelbagai kaum.

“Kegagalan ini bersifat kolektif dan merupakan tanggungjawab kita sebagai gabungan pemerintah. Kita tidak menunjukkan kepada pengundi bahawa kita boleh dipercayai untuk mentadbir dengan adil, serta mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat.

“Lebih-lebih lagi, banyak pusingan-u yang berlaku apabila melibatkan dasar kerajaan dan sikap beberapa pemimpin kita untuk mengabaikan manifesto Buku Harapan dimana ia akhirnya tidak membantu kita.

“Ini adalah kelemahan yang harus kita hadapi jika kita ingin mendapatkan semula kredibiliti yang dirindukan pengundi. Masih ada masa untuk kita melakukannya tetapi ia memerlukan keberanian, kejujuran diri dan kerja keras. Selain itu, Pakatan Harapan mesti bersatu padu dan mempunyai haluan yang sama,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, berkata, kekalahan di PRK Rantau seharusnya dijadikan platform untuk menyedarkan pemimpin untuk mendedikasikan semula diri disamping membawa matlamat dan pembaharuan untuk semua rakyat Malaysia.

Katanya, kerajaan mesti menyediakan rakyat dengan penjagaan kesihatan, pendidikan dan perumahan yang lebih baik, daripada janji-janji kosong, retorik yang berkobar-kobar dan projek-projek mega.

“Kepada rakyat Rantau dan Malaysia, kami berjanji akan menjadi lebih baik. Kami tahu anda berhak lebih baik daripada apa yang telah kami berikan dan akan berusaha untuk membina Malaysia yang layak untuk semua warganegara,” ujarnya.