Malaysia Dateline

Teruskan kontrak bukan solusi tapi ‘gula-gula’ untuk tutup mulut, kata Doktor Kontrak

Gerakan Hartal Doktor Kontrak tidak akan berganjak daripada pendirian mereka untuk menerusan mogok pada 26 Julai ini walaupun Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin memutuskan khidmat mereka dilanjutkan untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Dalam sidang media secara maya hari ini, Gerakan Hartal Doktor menyifatkan tindakan meneruskan kontrak mereka bukan satu jalan penyelesaian tetapi sebagai ‘gula-gula’ untuk menutup mulut mereka.

“Ketika ini sistem kesihatan kita sangat membimbangkan kerana kekurangan kakitangan, pemberian kontrak bukan solusinya sebaliknya pemberian jawatan tetap perlu dilaksanakan,” kata mereka.

Bagaimanapun, menurut Dr Umar Baraka isu yang berlaku ini bukanlah masalah mereka sahaja bahkan ia adalah masalah nasional.

“Harap kerajaan beri perhatian kepada kami dengan lantikan tetap supaya dapat benefit yang sama, di mana perlu ada kriteria hitam putih barulah perkara ini telus.

“26 Julai hartal dilakukan di seluruh hospital. Majoriti hospital di Selangor menunjukkan solidariti kepada kami,” kata beliau.

Dijangka 4,000 sehingga 5,000 orang doktor di seluruh negara akan terlibat dalam mogok dijadualkan berlaku pada Isnin 26 Julai ini.

Semalam, Mahiaddin berkata Jemaah Menteri bersetuju supaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Dalam satu kenyataan beliau berkata, langkah penyelesaian segera itu adalah bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Dalam pada itu, Gerakan Hartal Doktor Kontrak mahu kerajaan beri perancangan jelas untuk kerjaya mereka.