Malaysia Dateline

Teruskan lagi program subsidi membantu pekerja Malaysia

RUU Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020

1) Program Subsidi Upah tidak mencukupi

Berdasarkan laporan LAKSANA ke-15 oleh Menteri Kewangan pada 4 Ogos 2020, sebanyak RM8.97 bilion telah dibayar kepada 2.6 juta pekerja dalam 311,191 majikan setakat 24 Julai 2020. Program ini juga telah dilanjutkan untuk 3 bulan ke akhir bulan Disember 2020.

Tetapi maklum balas yang diberikan oleh pihak majikan, terutamanya, pihak PKS, adalah jumlah subsidi upah sebanyak RM1200 sebulan untuk 3 bulan untuk syarikat dengan jumlah pekerja kurang daripada 76 orang memang tidak mencukupi.

Ini menyebabkan sebahagian daripada PKS ini untuk mengambil keputusan untuk TIDAK memohon untuk program PSU tetapi memecat sebahagian daripada pekerja mereka.

Jumlah syarikat yang didaftar di bawah SSM adalah 1.361 juta (setakat 30 Jun 2020). Jumlah majikan yang berjaya memohon skim PSU hanya adalah 311,191. Ini bermakan hanya 22.3% mendapat manfaat daripada program PSU.

Untuk yang lain, ada kemungkinan besar mereka tidak mohon bantuan ini oleh kerana mereka tidak mampu membayar gaji / upah pekerja sewaktu MCO walaupun dengan bantuan PSU.

Saya hendak beri contoh yang lebih spesifik kepada industri pelancongan iaitu industri hotel dan penginapan.

Saya telah mengkaji senarai ahli beberapa persatuan Hotel termasuk “Malaysian Association of Hotel Owners” (MAHO), Malaysian Association of Hotels (MAH) dan Malaysia Budget Hotel Association (MyBHA).

Untuk MAHO yang mewakili hotel yang lebih besar, daripada 98 ahli, 49 ataupun 50% disenaraikan sebagai penerima PSU. Untuk MAH, daripada 844 ahli, hanya 174 ataupun 21% disenaraikan sebagai penerima PSU.

Untuk MyBHA, iaitu persatuan hotel bajet, daripada 1542 ahii, hanya 381 ataupun 25% adalah penerima PSU. Ini menunjukkan bahawa skim PSU tidak membantu sebahagian besar daripada salah industri yang menerima kesan yang begitu buruk akibat daripada MCO / PKP.

Kita boleh membandingkan skim subisidi upah di negara jiran kita iaitu Singapura. Program ini, yang dipanggil, “Jobs Support Scheme” memberi subsidi sebanyak 75% daripada gaji pekerja.

Pada mulanya subsidi ini diberikan untuk dua bulan semasa berlakukan MCO di Singapura ataupun dipanggil “circuit breaker” dan selepas itu, dilanjutkan sehingga bulan August 2020. Jumlah subsidi yang dibayar di bawah program ini adalah SGD16 bilion dan telah memberi manfaat kepada 2 juta pekerja di sana.

Jumlah tenaga kerja di Singapura adalah hanya 25% daripada tenaga kerja di Malaysia (3.8 juta pekerja berbanding dengan 15.2 juta di Malaysia). Jadi 53% daripada tenaga kerja menerima subsidi upah ini berbanding dengan hanya 18% di Malaysia.

Akibat daripada program ini, kadar pengangguran di Singapura hanya naik sedikit daripada 3.3% di suku pertama kepada 3.9% di suku kedua. Berbanding dengan di Malaysia di mana kadar pengangguran naik sampai 5.2% di bulan Mei 2020.

Semalam, Menteri Kewangan Singapura telah mengumumkan program ini akan dilanjutkan sehingga bulan March 2021 dengan kadar subsidi 10% – 75% daripada upah, bergantung kepada industri.

Jadi, saya cadangkan supaya skim PSU patut dilanjutkan sehingga sekurang-kurangnya bulan Mac 2021 dan jumlah subsidi juga perlu dinaikkan berbanding dengan jumlah yang sedia ada.

2) Memulihkan program di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020

Saya juga mencadangkan supaya Kementerian Kewangan memulihkan dan melanjutkan polisi yang telah diumumkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang telah diumumkan oleh mantan Perdana Mengeri, Yang Berhomat Langkawi, pada 27 Februari 2020 iaitu sebelum kerajaan PN mengambil alih kuasa.

Salah satu program yang akan memberi manfaat secara langsung kepada sektor pelancongan adalah program baucer digital bagi pelancongan domestik sehingga RM100 seorang untuk penerbangan domestik, keretapi dan penginapan di hotel berlesen. Untuk menggalakkan lebih ramai pelancongan domestik, saya cadangan jumlah ini ditambahkan kepada sekurang-kurangnya RM200 seorang. Kos asal program ini adalah RM500 juta.

Jikalau digandakan, kos juga akan ditambah ke RM1 bilion. Saya rasa program ini boleh memberi manfaat secara langsung dan dengan lebih efektif berbanding dengan program Penjana Tourism Financing (PTF).

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, program PTF ini bukan program geran tetapi adalah program pinjaman dengan kadar bunga / interest rate 3.5% setahun.[1] Had maxima pinjaman adalah RM300k untuk PKS / SME dan RM75k untuk syarikat mikro.

Tetapi permohonan akan mengambil masa dan dalam masa untuk mendapatkan pinjaman ini, mungkin lebih banyak syarikat dalam sektor pelancongan ini terpaksa gulung tikar. Jadi, kembalikan stimulus pakej ini yang saya rasa akan diterima baik oleh rakyat Malaysia dan juga sektor pelancongan.

Saya sokong RUU ini dengan syarat perbelanjaan mesti digandakan dan saya harap Menteri boleh memberi pertimbangan kepada cadangan-cadangan yang saya telah kemukakan.

———————
Petikan ucapan di Dewan Rakyat tentang Bajet Tambahan COVID-19 oleh Ahli Parlimen Bangi pada 18 Ogos 2020.