Malaysia Dateline

Teruskan MoU atau tidak tertakluk keputusan PM bukannya Umno, kata AMANAH

Teruskan MoU atau tidak tertakluk keputusan PM bukannya Umno, kata AMANAH. AMANAH mengingatkan Umno bahawa keputusan untuk meneruskan atau tidak Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) adalah tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri, bukannya keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata, komitmen PH untuk mengikat dan meneruskan MoU tersebut adalah untuk menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Di mana katanya, Baginda menitahkan supaya parti-parti politik dapat mewujudkan kestabilan politik dan pentadbiran negara bagi membolehkan kerajaan yang ada menumpukan usaha membendung penularan wabak Covid19, memulihkan ekonomi dan mengembalikan kesejahteraan rakyat.

“Atas semangat itu juga, PH telah menuntut inisiatif-inisiatif tertentu ditetapkan di dalam MoU untuk memastikan matlamat kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik dapat dicapai antaranya yang berkait dengan pemerkasaan pelan Covid-19, peruntukan untuk kebajikan rakyat dan meluluskan undang-undang anti-lompat parti,” kata beliau.

Teruskan MoU atau tidak tertakluk keputusan PM bukannya Umno, kata AMANAH
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan

Mesyuarat MKT Umno yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi menetapkan Umno telah membuat keputusan bahawa MoU antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir pada 31 Julai 2022 tidak akan diteruskan lagi.

Jelas Khalid, Umno yang kononnya menggambarkan partinya mampu membawa kestabilan lebih berminat bermain politik untuk merebut kuasa dan ternyata Umno adalah dalang sebenar punca ketidakstabilan politik sepanjang dua tahun ini.

“Kami yakin YAB Perdana Menteri sanggup dan mampu melihat persoalan MoU ini dari sudut kepentingan rakyat dan negara dan bukan dari sudut politik sempit seperti Umno,” ujar Khalid.

Dalam kenyataan media yang sama, Ahmad Maslan menyatakan Umno sebulat suara mencadangkan agar YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Kenyataan ini bagi Khalid ia mengingatkan kepada apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini di mana Umno yang awalnya menjanjikan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor akhirnya mengangkat Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai ganti.

“Adakah langkah Umno mengumumkan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri itu satu helah untuk menggesa beliau menyegerakan pembubaran parlimen bagi pilihanraya umum diadakan dan seterusnya membuka jalan untuk Umno melantik Perdana Menteri baharu yang lebih bersedia menyelamatkan kedudukan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak?” soal beliau.

Baca juga: Keputusan MT Umno janji manis paksa PRU15 disegerakan bukan jaminan Ismail kekal sebagai PM