Malaysia Dateline

Teruskan pembaharuan untuk pastikan kemajuan dalam usaha banteras rasuah

Pencapaian positif Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah 2019 menerusi pembaharuan struktur yang bermakna, perlu terus diberi keutamaan, menurut ketua korporat dan kumpulan pemikir.

Indeks yang dikeluarkan oleh Transparency International Malaysia (TI) pada Khamis lepas menyaksikan Malaysia di bawah kerajaan Pakatan Harapan, melonjak 10 anak tangga kepada kedudukan ke-51 daripada kedudukan 61 pada 2018, dengan peningkatan ketara dalam skor kepada 53 pada 2019 daripada 47 pada 2018.

Sambil memuji Putrajaya atas pencapaian itu, mereka bersetuju bahawa peningkatan ketara ini merupakan bukti ke atas pembaharuan yang dilakukan dalam tempoh hampir dua tahun oleh kerajaan baharu.

Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd, Tan Sri Dr Lim Wee Chai memberitahu Bernama, bahawa tindakan kerajaan yang mengutamakan usaha memulihkan integriti dan memerangi rasuah, sangat menggalakkan.

Beliau percaya masih ada ruang untuk menambah baik serta menyegerakan usaha untuk menjadikan Malaysia negara bebas rasuah.

Usahawan veteran berusia 62 tahun itu, yakin bahawa persekitaran bebas rasuah sangat penting untuk perniagaan terus berkembang kerana ia merupakan daya penarik selain meningkatkan keyakinan pelabur.

Ke arah itu, beliau menggesa kerajaan supaya bekerjasama dengan sektor swasta dan rakyat untuk mengatasi halangan rasuah bagi mencapai kejayaan, dan menjadi individu, syarikat dan negara yang berjaya.

Walaupun sudah ada peruntukan dari kerajaan kepada SPRM, Lim mahu melihat lebih banyak peruntukan dan usaha aktif untuk menguatkuasakan langkah-langkah ini, yang membolehkan agensi membuat kemajuan yang bermakna dalam perang terhadap rasuah.

Dalam Belanjawan 2020, kerajaan memperuntuk RM10 juta untuk memperkasa SPRM dalam menjalankan Ujian Penilaian Risiko ke atas semua kementerian, jabatan dan agensi.

Beliau menggesa semua pegawai kerajaan memakai lencana untuk memperkukuh pendirian mereka terhadap rasuah dan menunjukkan komitmen mereka untuk mencegah kejadian itu.

“Memberi dan menerima rasuah adalah jenayah dan menghalangnya merupakan tugas setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Di bawah kepimpinan Lim, Top Glove menjadi syarikat swasta pertama di Malaysia yang memperoleh Sistem Pengurusan Anti Rasuah ISO 37001: 2016.

“Jujur, berintegriti da telus adalah etika perniagaan kami. Kami pastikan pemupukan integriti dalam operasi dan aktiviti harian kami,” katanya.

Sebagai contoh, setiap 18,000 pekerja syarikat memakai lencana antirasuah yang berbunyi “Untuk mencegah rasuah dan memberi rasuah, rasuah dan memberi rasuah merupakan jenayah”.

Syarikat pengeluar sarung tangan, dengan 26 peratus penguasaan bahagian pasaran dunia – sentiasa memulakan mesyuarat dengan tepukan Tata Etika Perniagaan, menuturkan ‘Kejujuran, Integriti dan Ketelusan’.

Setiap orang yang menjalankan perniagaan dengan syarikat itu juga perlu menandatangani Surat Penguatkuasaan Budaya Korporat untuk menyatakan bahawa mereka akan sentiasa jujur dan telus dalam urusan mereka.

“Semua ini mungkin perkara kecil, namun ia merupakan peringatan yang efektif untuk kita bertindak dengan penuh integriti setiap masa,” kata Lim.

Pada 8 Januari, 2020 Top Glove melancarkan Buku Anti Rasuah dan Pencegahan Rasuah, yang mengesahkan komitmennya untuk terus memainkan peranan masing-masing dalam memerangi rasuah dan menggalakkan integriti dalam syarikat dan rakan perniagaan.

Top Glove juga melaksanakan ikrar Antirasuah untuk syarikat itu, yang dipimpin oleh Lembaga Pengarahnya.

Sementara itu, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi menekankan pelancaran Pelan Antirasuah Kebangsaan pada awal 2019 sebagai langkah berani dalam mengiktiraf kelemahan dalam sistem antirasuah yang menyumbang kepada penambahbaikan.

“Selepas bertahun-tahun berlalu, peningkatan yang ketara dalam pangkat dan skor dalam CPI 2019 sememangnya sangat menggalakkan,” kata penyelidiknya Aira Nur Ariana Azhari dalam kenyataan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbukti serius dalam memerangi rasuah di peringkat tertinggi, katanya.

Di peringkat kerajaan, Aira berpendapat bahawa CPI semasa perlu dipertahan dan pembaharuan harus terus diberikan keutamaan seperti sistem perolehan awam untuk memastikan daya saing, ketelusan dan nilai wang.

“Pelan Anti Rasuah Kebangsaan menamakan perolehan sebagai sektor yang paling cenderung kepada rasuah,” katanya. Ini berdasarkan aduan yang diterima oleh SPRM.

Beliau juga menyuarakan harapan agar Rang Undang-undang Kewangan Politik dibentangkan pada sesi parlimen Mac tahun ini.

Rang undang-undang itu memberi tumpuan kepada aspek pengawalseliaan sumbangan politik dalam usaha untuk menghapuskan rasuah dan mewujudkan ekosistem bebas rasuah dalam kalangan generasi akan datang berdasarkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti.– BERNAMA