Malaysia Dateline

Teruslah berbuat baik walau tidak dikenang orang, kata Adly

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dalam satu hantaran ringkas di Facebook, pagi hari ini menyeru untuk terus melakukan kebaikan walaupun tidak dihargai orang lain.

Berserta poster, Pengerusi AMANAH Melaka merangkap Bendahari Agung parti itu berkata, segala urusan akhirnya dinilai di sisi Allah.

“Jika kita berbuat baik dan tidak dikenang orang, teruslah berbuat baik kerana akhirnya urusan kita bukanlah dengan orang-orang, tetapi dengan yang Maha Pencipta,” katanya.

Pakatan Harapan (PH) Melaka pada asalnya menguasai 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala pembangkang memiliki 16 kerusi.

PH Melaka pada masa ini diwakili DAP, PKR dan AMANAH dengan kesemuanya 13 kerusi DUN manakala BERSATU dua kerusi.

Dua ADUN dari Bersatu ialah Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) yang masing-masing adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Namun, ekoran kemelut politik di peringkat Pusat sejak seminggu lalu, PH Melaka tidak lagi mendapat majoriti mudah dalam DUN apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dan kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam PKR keluar dari pakatan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen memberitahu ADUN Rumbia, Muhammad Jailani Khamis dari PKR menyatakan hasrat untuk menyertai Bersatu.

“Jadi, kita dicampur dengan Muhammad Jailani, kita mempunyai tiga kerusi Bersatu dan akan bekerjasama dengan 13 ADUN BN bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional,” katanya kepada pemberita di pekarangan kediaman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara di ibu negara semalam.

Sejak Oktober tahun lalu, Mohd Rafiq dan Noor Effandi dilapor bekerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan baru.

Bagaimanapun, kedua-duanya ketika dihubungi media menafikan dakwaan tersebut.

Malah, mereka menandatangani kenyataan bersama 12 ADUN PH negeri pada 25 Oktober tahun lalu menyatakan sokongan penuh kepada Adly selaku Ketua Menteri ekoran spekulasi rampasan kuasa bakal berlaku di negeri itu.