Malaysia Dateline

Logo Bersih

Testimoni Ku Nan: Bersih 2.0 gesa reformasi pendanaan dan perbelanjaan politik

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa agar kerajaan menggubal Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR) dan undang-undang pendanaan politik bagi mengawal sumber perolehan dana dan perbelanjaan calon politik, sepanjang pilihan raya.

Ia berikutan pendedahan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tengku Adnan Tengku Mansor di Mahkamah Tinggi yang mendakwa Umno memperoleh dana untuk kempen pilihan raya melalui beberapa sumbangan politik.

Bersih 2.0 dalam kenyataannya hari ini menegaskan bahawa pendanaan politik yang tidak dikawal akan membuka ruang peningkatan rasuah dan pengaruh tidak wajar oleh pihak berkepentingan, selain akan merendahkan keyakinan umum terhadap integriti pilihan raya.

“Pindaan perlu dilaksanakan oleh kerana akta tersebut hanya mengawal perbelanjaan kempen sepanjang kempen pilihan raya sahaja.

“Perbelanjaan oleh parti politik termasuklah untuk faedah calon sebahagian besarnya tidak dikawal. Malah, tiada peraturan derma politik kepada parti dan calon.

“Justeru, untuk menyediakan padang yang sama rata kepada pertandingan politik dan mengurangkan pengaruh politik wang, AKPR wajib dipinda dan undang-undang pendanaan politik mesti digubal untuk mengawal dua teras utama untuk pendanaan politik, iaitu sumber dan perbelanjaan dana tersebut,” katanya.

Kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 itu turut menggesa, agar sumbangan kepada parti politik dan calon yang berbentuk wang melebihi RM1,000 perlu diisytiharkan.

Katanya, kawalan tersebut perlu berjalan setiap masa dan merangkumi kesemua jenis sumbangan termasuk daripada individu, korporat, tidak kira dari dalam atau luar negara.

Walaubagaimanapun katanya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai penjaga wang rakyat perlu dihalang daripada memberi sumbangan kepada parti politik atau terlibat dengan aktiviti politik.

Malah, katanya, pembiayaan awam kepada parti politik juga perlu diperkenalkan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber persendirian, terutamanya golongan berkepentingan daripada orang kaya dan korporat.

“Bagi perbelanjaan dana pula, had perbelanjaan kempen RM100,000 untuk calon ADUN dan RM200,000 untuk calon parlimen perlu ditingkatkan kepada jumlah yang lebih realistik.

“Kami mencadangkan untuk perbelanjaan kempen dinaikkan ke RM 500,000 dan RM1,000,000. Peraturan ini juga perlu meliputi perbelanjaan oleh parti politik dan pihak ketiga.

“Semua calon perlu menghantar laporan perbelanjaan dan pendapatan semasa kempen pilihan raya dengan dokumen sokongan, yang perlu diaudit serta dipamerkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk disemak oleh orang ramai bagi meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya.

Pada masa sama, kenyataan itu menegaskan, reformasi pendanaan politik perlu seiiring dengan reformasi SPR untuk memastikan SPR mempunyai kuasa bagi menguatkuasakan undang-undang pilihan raya.

“Kami menggesa kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Pendanaan Politik secepat mungkin dan mengumumkan rang undang-undang kepada orang ramai agar semua pihak berkepentingan dapat memberikan pandangan serta cadangan semasa sesi pendengaran oleh Jawatankuasa Khas Parlimen,” ujarnya.