Malaysia Dateline

Tg Piai: Elakan provokasi di hari mengundi esok, kata MB Johor

Penyokong parti dan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dinasihatkan agar mengelakkan provokasi yang boleh menimbulkan konflik ketika hari pengundian esok.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata penyokong turut mempunyai tanggungjawab bersama dalam memastikan proses pengundian berjalan lancar.

“Bagi penyokong tempatan atau pun dari luar, elakkan provokasi yang boleh menyebabkan konflik sesama parti.

“Malaysia adalah negara demokrasi, jadi masing-masing mempunyai hak dan tanggungjawab,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Media PRK Parlimen Tanjung Piai, di sini, hari ini.

Memandangkan hari ini merupakan hari terakhir berkempen, beliau juga berharap agar kesemua parti dan calon dapat menggunakan masa yang ada ini untuk bekerja semaksimum mungkin serta berjumpa dengan penduduk.

Ditanya mengenai persediaan Pakatan Harapan (PH) sepanjang berkempen, Dr Sahruddin yang juga Pengarah Jentera PRK Tanjung Piai berkata beliau sangat berpuas hati dengan gerak kerja parti.

Beliau dalam masa sama turut menasihatkan kesemua penduduk di Tanjung Piai untuk keluar mengundi awal esok dan memenuhi tanggungjawab masing-masing untuk menentukan wakil rakyat baharu.

Dr Sahruddin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengamal media kerana bertungkus lumus membuat liputan untuk memberikan perkembangan dari semasa ke semasa kepada orang ramai sepanjang kempen PRK Parlimen Tanjung Piai.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon PH Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz mewakili Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Wendy Subramaniam daripada Gerakan serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas.