TH jual aset di London untuk bayar bonus 8 peratus?

TH jual aset di London untuk bayar bonus 8 peratus?

Parti Amanah Negara (Amanah) mendedahkan Lembaga Tabung Haji (TH) menjual beberapa aset institusi itu di London untuk membayar bonus 8 peratus kepada 8.85 juta pendepositnya demi memenuhi matlamat jangka pendek untuk memberi persepsi perniagaan TH masih utuh dan berkeuntungan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin AyubParti Amanah Negara (Amanah) mendedahkan Lembaga Tabung Haji (TH) menjual beberapa aset institusi itu di London untuk membayar bonus 8 peratus kepada 8.85 juta pendepositnya demi memenuhi matlamat jangka pendek untuk memberi persepsi perniagaan TH masih utuh dan berkeuntungan.

Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata , pemberian bonus bagi tahun kewangan 2015 merangkumi 5 peratus bonus tahunan dan tambahan bonus haji sebanyak 3 peratus adalah tidak wajar dan tidak mampan kerana teguran oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai polisi rizab secara komprehensif dan pengurusan risiko amat mustahak untuk dipatuhi oleh TH.

“Dalam soal pemberian dividen dan bonus yang melebihi keuntungan perniagaannya untuk sesuatu tahun berkenaan, Amanah menyedari pemberian bonus yang diumumkan itu, dilakukan setelah TH menjual beberapa  asetnya di London.

“Aset-aset yang selama ini mendatangkan pendapatan yang lumayan kepada TH terpaksa dikorbankan demi memenuhi matlamat jangka pendek untuk mengambarkan perniagaan TH masih utu dan berkeuntungan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Salahuddin lagi,  tindakan membayar dividen atau bonus melebihi keuntungan merupakan suatu ketidakpatuhan amalan perniagaan baik dan digunakan untuk menarik lebih ramai penyimpan. Ini jelas akan menghakis rizab serta memudaratkan TH.

“Wujudnya simpanan yang besar tanpa adanya satu perancangan pelaburan yang baik boleh mendatangkan kesan yang merugikan. Akhirnya simpanan itu hanya mendatangkan pulangan biasa, sebagai contoh 3 peratus sedangkan TH terus memberikan dividen atau bonus yang lebih daripada biasa, seperti 5 peratus.” ujarnya.

Semalam TH mengumumkan bonus pendeposit bagi tahun kewangan 2015, merangkumi 5.0 peratus bonus tahunan dan tambahan bonus haji sebanyak 3.0 peratus, kepada pendeposit yang belum pernah menunaikan Fardhu Haji  dan terhad kepada bayaran haji semasa (RM9,980). Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pembayaran kedua-dua bonus itu berjumlah RM3.236 bilion berbanding RM3.237 bilion pada 2014. Jumlah ini akan dimanfaatkan oleh hampir 8.85 juta akaun pendeposit TH yang aktif.

Pada Rabu lalu, beberapa pemimpin  Amanah juga mengadakan pertemuan dengan Jamil Khir di ibupejabat TH untuk mendapatkan kepastian isu terkini institusi kewangan itu umat Islam itu.

 Justeru Amanah katanya lagi, melihat TH bakal dilanda krisis keyakinan penyimpan dan pelabur yang akan menjejaskan kewujudannya kecuali tindakan segera diambil untuk memulihkan keyakinan ini.

 Amanah telah menyenaraikan beberapa alternatif kepada penyelesaian untuk TH mengenai kelangsungan rizabnya bagi menjamin institusi simpanan umat Islam itu lebih terjamin.
Amanah mengambil berat teguran BNM hanya pengurusan yang tidak bertanggungjawab sahaja akan sanggup menepis teguran berkenaan dengan berbagai alasan.

1. Pengurusan dan Lembaga Pengarah TH sedia ada dikaji dari segi kelayakan dan kemampuan mereka seperti disentuh BNM.

2. Jawatan Pengurusan dan Lembaga Pengarah TH wajib diserahkan kepada mereka yang layak dan bukan sebagai habuan politik.

3. Senarai pengurusan TH perlu diluluskan terlebih dahulu oleh Bank Negara sepertimana senarai pengurusan bank komersil di negara ini. Ini bertujuan untuk menjamin hanya yang layak diberi jawatan di institusi kewangan yang menyimpan hampir RM54 billion aset umat Islam.

4. Demi menjamin wujudnya ketelusan dan amalan semak dan imbang, maka AMANAH mengesyorkan agar pihak Ketua Pembangkang sewajarnya diberi peluang untuk menamakan calon Lembaga Pengarah TH dengan syarat calon yang dinamakan layak dan diluluskan Bank Negara.

5. Satu audit menyeluruh terhadap kegiatan dan pelaburan TH serta kesemua anak syarikatnya perlu segera dilakukan oleh Ketua Audit Negara dan juga firma juruaudit bebas bertaraf antarabangsa. Segala yang tidak mematuhi piawaian profesionalisme dan amalan pengurusan yang baik perlu ditamatkan. Ini termasuk menutup syarikat yang tidak mendatangkan keuntungan dan sebaliknya hanya menjadi tempat berteduh ahli dan penyokong politik untuk sekian lama, sekiranya ada.

6. Sistem tangga gaji dan elaun sama ada untuk Ahli Lembaga Pengarah atau Pengurusan TH perlu disemak kembali. Mana-mana yang didapati melampau dan tidak seimbang dengan tugas dan tanggungjawab yang dimainkan, perlu diubah.

7. Sebagai langkah pengurusan risiko tambahan, TH diminta menjalankan satu ujian ‘stress test’ untuk institusi kewangan mengikut panduan di bawah kelolaan BNM. Hasil ujian tersebut perlu diterbitkan kepada umum untuk memberikan gambaran tahap keutuhan kewangan TH dan mengembalikan keyakinan penyimpan dan seluruh rakyat jelata.

Sebagai rekod sejarah penubuhan TH sebagai institusi kewangan umat Islam hasil buah fikiran Profesor Di Raja Ungku Abdul Aziz ini bertujuan memudahkan urusan dan bebanan kewangan jemaah haji Malaysia. TH sebuah institusi unggul di dunia Islam yang boleh dibanggakan.

Untuk mencapai tujuan penubuhannya, operasi TH dibahagikan kepada dua, iaitu bahagian urusan jemaah Haji dan kegiatan pelaburan pendeposit. Keuntungan dari kegiatan pelaburan membantu menampung sebahagian kos jemaah haji.

Sejarah prestasi tadbir urus TH adalah baik dan memuaskan yang punya rangkaian urusniaga yang luas melalui pelaburan dan pembelian aset strategik dalam dan luar negara.

Mutakhir ini TH ditanggapi umum sebagai bermasalah, khasnya setelah surat dari Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) tersebar luas. Secara lebih khusus tentang pertikaian pemberian dividen melebihi keuntungan dan pembelian hartanah tertentu dengan harga tinggi. Dakwaan urus niaga dan pelaburan TH dipengaruhi oleh pimpinan politik sukar disangkal.

TAGS