Malaysia Dateline

Kos menunaikan haji dijangka terus meningkat disebabkan kos penginapan pengangkutan makan minum dan lain lain perkhidmatan turut bertambah

TH kekurangan RM4bilion wang pendeposit banding aset

Taung Haji (TH) kekurangan RM4bilion wang pendeposit berbanding asetnya sejak tahun 2017, menurut laporan Sunday Times.

Angka tersebut dipetik media Singapura itu melalui penyata kewangan TH bagi tahun 2016. Laporan itu mendakwa, jurang kekurangan ini mungkin lebih besar bagi tahun 2017, dan 2018.

Untuk tahun 2016, aset TH dinyatakn berjumlah RM63.6 bilion berbanding wang pendepositnya sebanyak RM67.7 bilion.

Menurut TH, jumlah pendeposit mereka terdiri daripada 9juta rakyat Malaysia.

Akhbar mingguan Straits Times itu menyatakan, terdapat sumber dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa barisan pengurusan TH sebelum ini “memalsukan penyata kewangan tahun 2017 untuk membolehkan TH membuat bayaran dividen sebanyak 6.25 peratus pada bulan Februari 2018, iaitu hanya tiga bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa sebelum ini berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu penyelewangan, terutamanya jika ia melibatkan isu wang rakyat.
Sunday Times turut melaporkan bahawa disebabkan dakwaan penipuan ini, angka yang diumumkan sebagai untung bagi tahun 2017 adalah sebanyak RM2.7 bilion.

Namun kadar keuntungan bagi tahun 2017 kini diragui.

Sehingga kini, TH masih belum mengeluarkan penyata kewangan yang diaudit bagi tahun 2017, walaupun tinggal hanya tiga minggu lagi sebelum tahun 2019 menjelang.

Selain daripada itu, antara sebab lain kelewatan penyata kewangan tersebut diterbitkan adalah kerana barisan pengurusan tertinggi TH telah berubah susulan perubahan tampuk pemerintahan selepas PRU14.

Barisan lembaga pengarah TH sebelum ini, antaranya, terdiri daripada mereka yang rapat dengan kerajaan Barisan Nasional (BN), termasuk Tan Sri Apandi Ali, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Kesemua mereka telah meletak jawatan selepas PRU14.

Abdul Azeez, yang merupakan bekas pengerusi TH, kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan beberapa kes rasuah, termasuk berhubung TH.