TH keluar zakat kepada  lebih 1,900 asnaf seluruh negara

TH keluar zakat kepada lebih 1,900 asnaf seluruh negara

Lembaga Tabung Haji (TH) mengeluarkan zakat sebanyak RM970,500 kepada lebih 1,900 golongan asnaf di seluruh negara sempena Ramadan tahun ini.

Pengarah TH Terengganu, Datuk Mohyen Mosman berkata daripada jumlah itu, sumbangan berjumlah RM82,000 diagihkan kepada 164 orang penerima yang terpilih dan layak di negeri ini.

“Setiap seorang daripada mereka menerima RM500 dan ia merupakan satu program Tanggungjawab Sosial Korporat TH (CSR) sempena Ramadan, bertujuan membantu ibu dan bapa tunggal, warga emas dan orang kurang upaya daripada golongan asnaf fakir miskin di seluruh negara.

“Suka saya kongsikan di sini bahawa TH merupakan antara pembayar zakat yang terbesar dengan jumlah zakat keseluruhan bagi tahun kewangan 2016 sebanyak RM60 juta,” katanya pada majlis sumbangan Zakat Program Ehsan TH peringkat negeri Terengganu di sini, hari ini.

Jelasnya, Terengganu merupakan negeri keempat selepas Perak dan Melaka yang terlibat dalam penjelajahan TH bagi pengagihan wang zakat yang dijangka berakhir pada pertengahan Jun ini.