TH laksana 3,700 badal haji tahun ini

TH laksana 3,700 badal haji tahun ini

Lembaga Tabung Haji (TH) melaksanakan sebanyak 3,700 badal haji (upah haji) kepada umat Islam Malaysia yang sakit dan meninggal dunia bagi musim haji tahun ini.

Pengarah Operasi Bimbingan, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata jumlah itu meningkat berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 2,542 badal haji.

“Jumlah ini sedikit meningkat berdasarkan kepada permohonan penduduk Muslim rakyat Malaysia.

“Untuk melaksanakan badal itu, sebahagian pembadal (pelaksana badal), TH memilih penduduk Makkah untuk melaksanakannya,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Operasi TH di Makkah hari ini.

Tengku Aziz berkata hari ini adalah hari keempat dan hari terakhir pihaknya mengadakan temuduga terbuka kepada penduduk tempatan untuk menjadi pembadal.

Katanya antara syarat untuk menjadi pembadal mestilah berumur 17 tahun ke atas, pernah mengerjakan haji dan memahami rukun Islam kelima itu.

“Kita kenakan syarat yang ketat dan bukan senang-senang kita mahu meluluskan mereka yang mahu menjadi pembadal,” katanya.

Selain itu seramai 66 petugas TH di sini juga telah dibenarkan menjadi pembadal.

Menurutnya TH membayar sebanyak SR2,400 kepada pembadal dan turut memberikan hadiah lain kepada waris atau keluarga yang memohon badal itu.

TH mengenakan sebanyak RM3,000 berbanding RM2,500 pada tahun lalu kepada pemohon badal di Malaysia berdasarkan kepada kos semasa.

“Sebenarnya bukan keuntungan yang kita kejar sebaliknya ia lebih bersifat khidmat memberikan sumbangan kepada penduduk Muslim Malaysia,” kata Tengku Aziz.

Sementara itu pembadal haji, Abdullah Doromang Ahmad, 47, berkata beliau telah 10 tahun mengambil upah badal haji.

“Alhamdulillah masuk tahun ini dah 10 tahun saya ambil upah buat badal haji dengan Tabung Haji,” katanya yang merupakan penduduk tetap di sini yang berasal dari Pattani, Thailand.

Katanya selain upah yang dianggapnya lumayan sebanyak SR2,400 sehingga selesai mengadakan badal, beliau juga merasa kagum dengan komitmen TH melaksanakan badal haji.

“Negara lain saya tak nampak pulak buat seperti Tabung Haji buat macam ini. Ini langkah yang sangat baik dan beri peluang kepada kami untuk cari rezeki,” katanya.

Beliau berkata selain dirinya, sembilan anggota keluarganya yang lain turut mengambil upah berkenaan dengan TH.

Seorang lagi pembadal, Ahmad Abdul Wahab, 38, berkata beliau telah tiga tahun mengambil upah itu bersama TH.

“Alhamdulillah rezeki saya setiap tahun selain rasa gembira melakukan badal untuk orang lain,” katanya yang berasal dari Sulawesi, Indonesia.