Malaysia Dateline

Zeti Akhtar

TH perlu diletak bawah Bank Negara, kata Zeti

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menyokong keputusan kerajaan meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).

Bekas Gabenor Bank Negara itu berkata terdapat keperluan yang penting untuk meletakkan lembaga itu di bawah pemantauan sebuah badan kawal selia yang berkaliber.

“Keputusan telah dibuat oleh kerajaan. Saya sokong yang mesti ada dikawal selia by a regulatory authority. Itu yang penting.

“Contohnya macam PNB (Permodalan Nasional Berhad) di bawah Securities Commission, jadi perlu,” katanya selepas menghadiri pelancaran Pusat Imbasan IJN-PNB di Institut Jantung Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa pada Isnin lepas bahawa TH akan diletakkan di bawah kawal selia BNM bermula Januari tahun hadapan bagi menambah baik tadbir urus organisasi berkenaan.

Mujahid berkata, Kabinet memberi sokongan penuhnya kepada pemulihan TH, termasuk penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) pada bulan ini.

Ditanya sama ada Laporan 100 Hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang disediakan oleh Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) akan didedahkan kepada umum, Zeti berkata keputusan itu terpulang kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya sehingga kini CEP juga tidak menjalankan sebarang mesyuarat sejak laporan itu dibentangkan kepada Perdana Menteri pada 7 Ogos lepas, bagaimanapun majlis itu boleh diaktifkan semula sekiranya ada keperluan.