TH strukturkan dua urus niaga, bolehkan pembayaran hibah – PwC

TH strukturkan dua urus niaga, bolehkan pembayaran hibah – PwC

Semakan kedudukan kewangan Tabung Haji (TH) oleh juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC), bagi 2017 mendapati lembaga pengarah institusi pengurusan jemaah haji negara itu telah menstrukturkan dua urus niaga untuk membolehkan pembayaran hibah dibuat walaupun mencatatkan lembaran imbangan defisit sekali gus melanggar Akta Tabung Haji 1995.

Menurut laporan itu, urus niaga tersebut adalah keuntungan RM553 juta daripada penjualan saham Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) yang kemudiannya telah dibeli semula, serta dividen RM510 juta yang diumumkan oleh anak-anak syarikat TH namun RM222 juta daripadanya masih belum dibayar.

“Walaupun transaksi berkenaan dinyatakan sebagai komersial, kami memahami bahawa maksudnya adalah untuk membolehkan TH melaporkan keuntungan lebih tinggi bagi tujuan pengagihan kepada pendeposit.

“Ini hanya akan membawa kepada hibah telah dibiayai daripada tunai dana simpanan pendeposit, dan bukannya daripada keuntungan yang diisytiharkan,” menurut PwC dalam laporan yang diedarkan kepada anggota Parlimen di sini, hari ini.

Terdahulu hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof berkata TH telah membayar hibah sejak 2014 tanpa memenuhi dua syarat mengikut Akta Tabung Haji 1995 iaitu, nilai aset tidak boleh kurang daripada liabiliti dan perlu ada keuntungan yang boleh diagihkan.

Beliau berkata, setakat 31 Dis, 2017, lembaran imbangan TH berada pada defisit RM4.1 bilion dengan jumlah aset RM70.3 bilion manakala liabiliti pada RM74.4 bilion.

Tahun lepas, TH mengumumkan dividen 4.5 peratus dan bonus 1.75 peratus.

— BERNAMA