Malaysia Dateline

TH disaran tetap bayar dividen kepada pencarum walaupun tenat

Tabung Haji (TH) tenat sejak zaman BN lagi, namun begitu ia disarankan agar tetap membayar dividen kepada pencarum.

Demikian dinyatakan oleh Ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria.

Jelasnya lagi, sekiranya TH tidak membayar dividen, kemungkinan besar ramai pencarum akan mengeluarkan caruman mereka.

“Sebenarnya TH berada dalam keadaan tenat sejak zaman pemerintahan BN lagi.

“Kini ia menjadi tanggungjawab yang harus diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan yang memerintah.

“Adalah diharapkan pelan melalui syarikat tujuan khas (SPV) menjelang Disember sepertimana yang disarankan akan mampu mengatasi kerugian tersebut, ” ujar beliau lagi.

Katanya, aset TH yang stabil bernilai RM57.1 bilion, manakala fokus SPV adalah kepada aset TH yang tidak menguntungkan bernilai RM19.9 bilion.

Selain itu tegasnya, aset yang tidak menguntungkan diatas kertas tidak akan memberi apa jua hasil dan pulangan kepada TH.

“Aset ini akan mencacatkan laporan kewangan TH dan berdasarkan kepada ‘standard finance’, ia sekaligus menghalang pemberian dividen kepada para pencarum.

“Bagi mengatasi masalah tersebut, TH memindahkan atau menukarkan aset RM19.9 bilion kepada SPV di bawah Kementerian Kewangan.

“Ianya digantikan dengan pegangan instrumen pelaburan Sukuk RM10 bilion dan saham keutamaan boleh tebus Islamik (RCPS-I) RM9.9 bilion untuk dimiliki oleh TH, ” katanya lagi.

Sehubungan itu tambah beliau, Sukuk dan RCPS-I dijangka memberi pulangan 2.5 peratus setahun.

Beliau juga berkata, langkah yang diambil ini akan membolehkan TH membayar dividen kepada pencarum maupun pendeposit.

Sebelum ini Lembaga Tabung Haji mencadangkan akan memindahkan aset yang tidak menguntungkan bernilai RM19.9 bilion tersebut kepada SPV dengan tujuan untuk memantapkan kedudukan kewangannya.